Arab Saudi buka semula sempadan 1 Ogos

RIYADH, 30 JULAI – Arab Saudi hari ini mengumumkan bakal membuka semula sempadan kepada pelancong asing yang sudah menerima vaksinasi lengkap, bermula lusa, selepas menutupnya selama 17 bulan berikutan pandemik COVID-19, lapor agensi berita negara itu.

Bagaimanapun, Riyadh dilaporkan tidak mengumumkan sebarang penarikan semula sekatan terhadap ibadah umrah.

Menurutnya, pengembara yang sudah menerima imunisasi lengkap dengan suntikan vaksin diluluskan Arab Saudi – Pfizer, AstraZeneca, Moderna atau Johnson & Johnson – akan dibenarkan untuk memasuki negara ini ‘tanpa perlu menjalani kuarantin di institusi kuarantin.’
Namun, ia dengan syarat keputusan ujian saringan PCR COVID-19 diambil mereka dalam tempoh 72 jam terakhir adalah negatif, selain mendaftarkan butiran diri dengan pihak berkuasa kesihatan.

Riyadh telah membelanjakan kos besar untuk membangunkan industri pelancongannya, sebagai sebahagian daripada usaha mempelbagaikan ekonomi yang bergantung pada hasil minyak.

Negara ini julung kali mengeluarkan visa pelancong pada 2019 dalam usaha memperbaiki imejnya pada peringkat global serta menarik kunjungan pelawat.

Sebanyak 400,000 visa itu dikeluarkan antara September 2019 hingga Mac 2020 sebelum pandemik menjejaskan momentum berkenaan dengan penutupan sempadan. – AFP

Riyadh dilaporkan tidak mengumumkan sebarang penarikan balik sekatan terhadap ibadah umrah yang lazimnya ditunaikan jutaan jemaah dari seluruh dunia, setiap tahun. – AFP