RIYADH, 6 FEB – Mana-mana rakyat dan pemastautin tetap Arab Saudi yang melanggar larangan perjalanan ke China akan dikenakan hukuman atau denda, lapor media rasmi hari ini.
“Perjalanan ke China oleh rakyat atau pemastautin negara ini digantung sementara sebagai pendekatan kesihatan dalam membendung penularan wabak koronavirus,” kata agensi berita rasmi SPA.
Ekspatriat yang melanggar pengharaman itu bakal berdepan larangan kembali semula ke negara berkenaan.
Krisis koronavirus China semakin memburuk dengan jumlah kematian meningkat kepada 563 hari ini, tatkala ribuan orang yang terperangkap dalam kapal persiaran kuarantin menambah panik mengenai epidemik itu.
Lebih daripada 28,000 orang telah dijangkiti di seluruh China tatkala pihak berkuasa bergelut untuk membendung wabak meskipun merayu berjuta-juta penduduk tinggal dalam rumah di beberapa bandar. Sebanyak 24 negara telah mengesahkan kes penyakit pernafasan yang timbul dari sebuah pasar yang menjual haiwan liar di tengah bandar Wuhan pada akhir tahun lalu. – AFP




























