Arab Saudi kuarantin ribuan orang di hotel

RIYADH, 13 APRIL – Arab Saudi mengkuarantin beribu-ribu orang di hotel, termasuk dalam bilik penginapan mewah, bagi memerangi penularan wabak COVID-19.

Ia sekali gus memberikan bantuan sementara kepada industri perhotelan yang terjejas teruk hanya beberapa bulan selepas visa pelancongan diperkenalkan.

Arab Saudi yang mencatatkan hampir 4,500 kes jangkitan, iaitu tertinggi di Teluk, telah menghentikan perjalanan udara, menutup bandar dan menguatkuasakan perintah berkurung di seluruh negara susulan krisis itu yang mengakibatkan sektor pelancongan terjejas teruk.

Namun, timbul sinar harapan apabila kerajaan membelanjakan jutaan dolar untuk kuarantin ribuan pelancong luar negara dan mereka yang terdedah kepada orang dijangkiti, di hotel kosong di seluruh Arab Saudi.

Menurut Kementerian Pelancongan dalam laman webnya pada akhir bulan lalu, hampir 1,900 bilik hotel dan kemudahan pelancongan lain di Riyadh telah ditempah untuk kes kuarantin, bersama lebih 2,800 di Mekah serta 1,900 lagi di rantau timur negara ini.

Minggu ini, kementerian itu berkata, 11,000 bilik hotel di seluruh negara sudah bersedia untuk kuarantin rakyat Arab Saudi yang terkandas di luar negara dan dijangka pulang.

Kerajaan menanggung perbelanjaan itu walaupun pendapatan negara berkurangan mendadak susulan harga minyak merudum.

Kementerian itu berkata, ia komited menjadi tuan rumah kepada rakyat Arab Saudi yang pulang, termasuk menempatkan mereka di ‘hotel paling berprestij’. – AFP

Tetamu yang dikuarantin bertolak dari Hotel Mena di Riyadh pada 30 Mac 2020. – AFP