Arab Saudi lancar bidaan rasmi Piala Asia 2027

KUALA LUMPUR, 10 SEPT – Arab Saudi secara rasmi melancarkan bidaan sebagai tuan rumah Piala Asia 2027, dengan memperkenalkan logo bidaan serta slogan ‘Forward for Asia’ (Maju untuk Asia) tepat pada pukul 20:27 malam waktu tempatan pada Rabu (Khamis 1.27 pagi di Malaysia).

Sekiranya bidaan tersebut berjaya, edisi tahun 2027 itu akan menyaksikan negara kaya dengan minyak itu, buat pertama kalinya menjadi tuan rumah kepada kejohanan bola sepak kedua tertua di dunia, walaupun telah menjuarainya sebanyak tiga kali pada 1984, 1988 dan 1996, selain layak ke Piala Dunia FIFA sebanyak lima kali.

Presiden Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) Yasser Al-Mashal berkata, visinya adalah lebih daripada sekadar pertandingan bola sepak, sebaliknya mahu berkongsi idea dengan seluruh keluarga bola sepak rantau Asia, dalam beberapa bulan akan datang.

“Dalam usaha kami di Arab Saudi melakukan transformasi melalui Visi 2030, kami mahu menggunakan minat mendalam kami dalam bola sepak sebagai pemangkin pertumbuhan yang berterusan sukan berkenaan di seluruh Asia.

“Kami mahu mewujudkan satu usaha besar-besaran untuk seluruh Asia dengan fokus mencipta pengalaman, pertukaran dan perluasan baharu,” katanya dalam satu kenyataan. Logo bidaan Arab Saudi 2027 memaparkan tiga elemen berpengaruh, iaitu helang emas, bola sepak dan sepasang sayap. – Benama