Arab Saudi mula longgarkan sekatan

RIYADH, 21 JUN – Arab Saudi hari ini menarik semula perintah berkurung mulai jam 6 pagi waktu tempatan apabila mendapat kelulusan diraja, selepas 73 hari berada dalam perintah berkurung dikuatkuasakan semenjak 8 April.

Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 26 Mei dan berdasarkan laporan pihak berkuasa mengenai pendekatan dalam menangani COVID-19, menyatakan kesemua aktiviti komersial dan ekonomi akan kembali seperti biasa di semua bandar, namun perlu mengamalkan langkah-langkah pencegahan normal baharu se-perti penjarakan sosial, memakai penutup mulut dan hidung dan larangan aktiviti membabitkan perkumpulan 50 orang ke atas.

Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Arab Saudi akan menilai situasi pandemik dari semasa ke semasa. Ibadah umrah dan lawatan ke tanah suci bagaimanapun masih dilarang dan keputusan mengenai perkara itu akan dikaji lebih lanjut lagi dengan mengambil kira perkembangan terkini. – Xinhua

Kereta kelihatan melintasi lebuh raya berhias King Fahad selepas pihak berkuasa melonggarkan beberapa langkah sekatan yang dilaksanakan dalam usaha mengurangkan penularan wabak COVID-19, di ibu negara, Riyadh, 21 Jun. – AFP