JEDDAH, 12 April – Pasukan pertahanan udara Arab Saudi telah berjaya memintas serangan militan Houthi pada Rabu yang melancarkan peluru berpandu balistik serta dron menyasarkan Riyadh, bandaraya Jazan dan Najran, serta Lapangan Terbang Abha, lapor Arab News.
Peluru berpandu terbabit menyasarkan ibu kota dan dua bandar raya di selatan Arab Saudi, dron yang dilengkapi senjata pula menyasarkan Lapangan Terbang Abha manakala dron kedua menuju ke kawasan kejiranan awam di Jazan.
Seorang jurucakap pasukan pertahanan berkata satu letupan kuat kedengaran dan asap tebal kelihatan di langit Riyadh semasa peluru berpandu terbabit berjaya dipintas serta dimusnahkan.
Bagaimanapun, tiada laporan kehilangan jiwa atau kerosakan harta benda.
Militan Houthi telah melancarkan berpuluh-puluh peluru berpandu tahun lepas, yang disasar ke arah Riyadh dan bandar raya di selatan Arab Saudi.
Kesemuanya telah berjaya dipintas dan ditembak jatuh oleh pasukan pertahanan udara Arab Saudi.
Bagaimanapun, bulan lepas, serpihan sebutir peluru berpandu telah meragut nyawa seorang ekspatriat Mesir di Riyadh, yang merupakan insiden kehilangan nyawa pertama disebabkan oleh serangan peluru berpandu.
Tentera gabungan pimpinan Arab Saudi telah memberi amaran kepada militan Houthi bahawa serangan pengganas yang menyasarkan kawasan awam dalam kerajaan itu tidak akan dibiarkan, dan mereka akan bertindak balas dengan cara yang tegas. – Bernama