Arab Saudi pintas peluru berpandu Yaman

RIYADH, 25 Mei – Pertahanan udara Arab Saudi hari ini memintas sebuah peluru berpandu balistik di bandar Najran di selatan selepas dilancarkan dari kawasan yang dikuasai oleh kumpulan pemberontak di Yaman, kata tentera gabungan yang diketuai Arab Saudi.

Cebisan peluru berpandu itu bertaburan di kawasan kejiranan Najran namun tiada sebarang korban dilaporkan, kata jurucakap tentera gabungan, Turki Al-Maliki dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Agensi Berita Arab Saudi.

Pemberontak Huthi Yaman mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu menerusi media rasminya Al-Masirah, mengatakan peluru berpandu ‘Badr 1’ telah menyasarkan Najran.

Kelmarin, sebuah peluru berpandu Huthi telah dipintas di Jizan selepas serangan yang sama dilancarkan ke bandar selatan itu Isnin lalu, menurut Maliki sambil menambah serangan itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan.

Riyadh menuduh musuh tradisinya Tehran membekalkan peluru berpandu balistik kepada Huthi, dakwaan yang dinafikan Iran.

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan sekutu lain campur tangan di Yaman sejak tahun 2015 untuk menyingkirkan pemberontak dan sekali gus mengembalikan kerajaan yang diiktiraf antarabangsa selepas Huthi merampasnya termasuk di kawasan ibu negara Yaman, Sanaa. – AFP