Saturday, February 15, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arab Saudi sedia jadi tuan rumah Piala Dunia 2034

    DOHA, 1 NOV – Arab Saudi bersedia untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034 pada musim panas atau musim sejuk, beritahu ketua bola sepaknya kepada AFP, selepas negara gergasi minyak itu menjadi pembida tunggal untuk kejohanan itu.

    “Sudah tentu, kami bersedia untuk semua kemungkinan,” kata Presiden Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi, Yasser al-Misehal lewat kelmarin pada Anugerah Konfederasi Bola Sepak Asia di Doha.

    Kejayaan tawaran Arab Saudi itu, hanya 27 hari selepas pengumuman, berlaku kurang dari setahun selepas selepas negara jirannya, Qatar mengadakan Piala Dunia musim sejuk pertama, keputusan yang memaksa penangguhan pertandingan liga di Eropah.

    Musim panas di Arab Saudi boleh mencecah hingga 50 darjah Celsius, suhu yang dianggap berbahaya untuk bola sepak dan mungkin terlalu panas untuk peminat berada di luar.

    “Hari ini terdapat banyak teknologi baharu yang membantu dalam penyejukan atau penambahan penghawa dingin di stadium, selain terdapat banyak bandar di negara ini yang menikmati suasana yang menyeronokkan pada musim panas,” kata Misehal.

    Misehal juga menyatakan Arab Saudi berhasrat untuk meneruskan dan menganjurkan kejohanan itu sendirian, tanpa meminta negara jirannya mengadakan sebarang perlawanan.

    Pengeksport minyak terbesar dunia itu kemudiannya akan menjadi negara pertama yang menjadi tuan rumah kepada Piala Dunia dengan 48 pasukan yang baru diperluaskan, selepas Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico mengadakannya pada 2026, diikuti oleh Sepanyol, Portugal dan Maghribi pada 2030.

    “Arab Saudi akan mengemukakan bidaan berasingan,” kata Misehal, ketika ditanya sama ada negara lain akan menganjurkan sebarang perlawanan. – AFP

    Menteri Sukan Saudi, Putera Abdulaziz bin Turki al-Faisal (kiri) dan Presiden Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) Yasser al-Misehal (kanan) menghadiri perlawanan bola sepak persahabatan di ibu negara Saudi, Riyadh. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda