Arab Saudi tamatkan perintah berkurung bulan depan

RIYADH, 26 MEI – Arab Saudi berkata hari ini ia akan menamatkan perintah berkurung akibat koronavirus seluruh negara bermula 21 Jun, kecuali di bandar suci Mekah, selepas lebih dua bulan kawalan ketat.

Ibadah solat juga akan dibenarkan untuk disambung semula di semua masjid di luar Mekah bermula 31 Mei, menurut kementerian dalam negeri dalam siri langkah-langkah pengumuman dalam media kerajaan.

Di tempat lain di Teluk, Kuwait dan emiriah Dubai juga akan melonggarkan langkah sekatan pergerakan, yang mencetuskan kejatuhan dalam harga minyak sehingga mengakibatkan rantau itu terjerumus ke lembah krisis ekonomi terburuk dalam berdekad-dekad.

Arab Saudi yang telah melaporkan jumlah kes koronavirus tertinggi di Teluk, mengenakan perintah berkurung seluruh negara penuh semasa Aidilfitri.

Kementerian berkata ia akan mula melonggarkan sekatan secara berfasa minggu ini dengan perintah berkurung dilonggarkan antara jam 6 pagi dan 3 petang antara Khamis dan Sabtu.

Pemandangan dari udara menunjukkan lebuh raya lenggang akibat pandemik COVID-19 pada Hari Raya pertama di bandar Saudi, Riyadh, 24 Mei. Arab Saudi akan menamatkan perintah berkurung di seluruh negara bermula 21 Jun, kecuali di bandar suci Mekah. – AFP

Dari Ahad hingga 20 Jun, perintah berkurung akan dilonggarkan sehingga 8 malam, tambah kementerian.

Kerajaan akan menamatkan kawalan pergerakan sepenuhnya bermula 21 Jun.

“Bermula Khamis, kerajaan akan memasuki fasa baharu dan akan beransur-ansur kembali kepada kehidupan normal berdasarkan penjarakan sosial,” ujar Menteri Kesihatan, Tawfiq Al-Rabiah hari ini.

Arab Saudi setakat ini telah melaporkan sekitar 75,000 jangkitan koronavirus dan kira-kira 400 kematian akibat COVID-19.

Di Emiriah Arab Bersatu (UAE), pula telah melaporkan lebih 30,000 kes dan 248 kematian dengan pihak berkuasa di Dubai membatalkan sekatan ke atas perniagaan dan memendekkan perintah berkurung waktu malam bermula Rabu apabila cuti Aidilfitri berakhir. – AFP