RIYADH, 27 SEPT – Arab Saudi hari ini mengatakan ia menawarkan visa pelancongan buat kali pertama, membuka negara Islam konservatif itu kepada para pelancong sebagai usaha mempelbagaikan ekonominya daripada minyak.
Negara beraja itu juga melonggarkan etika berpakaian yang tegas kepada wanita asing, membenarkan mereka untuk tidak memakai jubah yang masih satu pakaian mandatori di tempat awam bagi wanita Saudi, ketika pihak berkuasa membuka sempadan terakhir pelancongan global dunia.
Tindakan itu dibuat hanya dua minggu selepas serangan membinasakan ke atas infrastruktur minyak Arab Saudi—dipersalahkan oleh Washington ke atas Iran—yang menggemparkan pasaran tenaga dunia dan membangkitkan kebimbangan konflik serantau meluas.
“Kami mencatat sejarah hari ini,” kata ketua pelancongan Ahmed al-Khateeb dalam satu kenyataan. “Buat pertama kalinya, kami membuka negara kami kepada pelancong dari seluruh dunia.”
Warganegara dari 49 buah negara layak mendapatkan e-visa atau visa semasa ketibaan, termasuk Amerika Syarikat, Australia dan beberapa negara Eropah, menurut kenyataan itu. – AFP
