Aramco kini syarikat paling berharga dunia

SAN FRANCISCO, 12 MEI – Syarikat Saudi Aramco di Arab Saudi semalam menyingkirkan Apple sebagai syarikat paling berharga di dunia ketika harga minyak yang meningkat merangsang saham syarikat berkenaan.

Syarikat petroleum dan gas asli Arab Saudi berkenaan, dianggap syarikat pengeluaran minyak terbesar di dunia, dinilai pada AS$2.42 trilion berdasarkan harga sahamnya di pasaran.

Sementara itu, Apple telah menyaksikan harga sahamnya merudum sejak sebulan lalu dan dinilai pada AS$2.37 trilion selepas perniagaan ditutup semalam.

Harga saham merosot meskipun Apple melaporkan keuntungan lebih baik daripada dijangkakan dalam tiga bulan pertama tahun ini di tengah-tengah permintaan pengguna yang kukuh.

Namun, Apple mengingatkan bahawa sekatan COVID di China dan masalah rantaian bekalan berterusan akan menjejaskan keputusan suku Jun sebanyak AS$4 hingga AS$8 bilion.

“Sekatan bekalan berpunca daripada gangguan berkaitan COVID dan kekurangan silikon dalam seluruh industri telah memberikan kesan ke atas keupayaan kami untuk memenuhi permintaan pelanggan terhadap produk kami,” kata Ketua Pegawai Kewangan Luca Maestri pada persidangan bersama penganalisis. – AFP

Gambar fail menunjukkan sebahagian pemandangan kilang pemprosesan minyak Abqaiq Aramco di Saudi. – AP