Aramco tingkat pengeluaran, rancakkan perang harga

RIYADH, 10 MAC – Syarikat tenaga negara Arab Saudi, Aramco hari ini mengatakan bahawa ia akan mempertingkatkan bekalan minyak mentah kepada 12.3 juta tong sehari dalam April, membanjiri pasaran ketika ia menambahkan lagi perang harga dengan Rusia.

Riyadh sudah pun mengurangkan harganya bagi penghantaran April selepas Rusia menolak cadangannya agar negara-negara pengeluar pakatan OPEC+ mengadakan satu penyelarasan pengurangan 1.5 juta tong sehari.

Pengurangan pengeluaran diperdebatkan bagi menaikkan harga minyak global yang menurun ketika koronavirus maut terus mengganas, mengakibatkan kemerosotan di seluruh ekonomi dunia, namun kini pemotongan harga dan peningkatan pengeluaran menunjukkan terungkainya kerjasama OPEC+.

“Aramco Saudi mengumumkan bahawa ia akan menyediakan pelanggannya dengan minyak mentah 12.3 juta tong sehari dalam April,” menurut kenyataan syarikat itu kepada bursa saham Arab Saudi.

Arab Saudi, pengeksport minyak mentah terbesar dunia, sudah pun mengeluarkan kira-kira 9.8 juta bpd maka pengumumannya hari ini bermakna ia akan menambah kepada sekurang-kurangnya 2.5 juta bpd dari April.

“Syarikat sudah bersetuju dengan pelanggannya untuk menyediakan mereka dengan jumlah seumpamanya bermula 1 April 2020. Syarikat menjangkakan bahawa ini akan memberikan satu kesan kewangan positif jangka panjang,” menurut kenyataan itu. – AFP

Seorang pengawal keselamatan kelihatan memakai topeng muka ketika memeriksa kenderaan memasuki pintu masuk syarikat Aramco di Jeddah, Arab Saudi. Syarikat itu kelmarin mengumumkan peningkatan pengeluaran bagi April, menambahkan lagi perang harga minyak dunia. – AP