Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mei – Pasukan Arbisyam menewaskan Najip FT dengan jaringan 6 – 2 sebelum menumpaskan RizFiz FT dengan jaringan 3 – 1 untuk terus menduduki persada Liga Futsal Brunei (BFL) 2017.
Pasukan Arbisyam melengkapkan ketujuh-tujuh perlawanannya dengan mengutip 17 mata, dan mempunyai kelebihan tujuh mata di hadapan pencabar terdekatnya iaitu Pasukan Kota Junior yang meraih 10 mata dengan dua baki perlawanan.
Meskipun menang dalam kedua-dua perlawanan itu, Kota Junior masih tidak mampu memintas pendahulu dan nasib yang sama bagi Pasukan Shah United, yang setakat ini mengumpul 10 mata dengan baki satu perlawanan.
Namun begitu Pasukan Arbisyam belum dapat duduk selesa kerana peluang masih terbuka bagi Pasukan Futsal Kebangsaan Brunei Darussalam (NFT) yang ketika ini mengutip sembilan mata daripada empat perlawanan dan jika pasukan itu menang dalam ketiga-tiga baki perlawanan NFT pasti akan berjaya merampas takhta BFL 2017.

Sementara itu, Pasukan RizFiz FT menerima kekalahan di tangan Shah United dengan jaringan 0 – 3, manakala Pasukan Eagle Blues pula akur dengan kekalahan di tangan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) dengan jaringan 2 – 6. MS ABDB sekali lagi bermain cemerlang apabila berjaya menumpaskan Pasukan Najip dengan jaringan 4 – 0.
Perlawanan hujung minggu lalu turut menyaksikan pertembungan kedua-dua pasukan, juara dan naib juara BFL 2016, iaitu Pasukan Shah United dan Pasukan Kota Junior. Keputusan akhir perlawanan menyaksikan Kota Junior menang 3 – 1.