Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 April – Harapan Pasukan Futsal Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) untuk membawa pulang tiga mata musnah apabila Pasukan Arbisyam FC menunjukkan permainan yang mantap di Dewan Serba Guna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas hari ini.
Dengan kemenangan besar 5 – 1, Arbisyam kini berada di kedudukan teratas Liga Futsal Brunei 2017 dengan enam mata, tiga mata di hadapan saingan terdekatnya, Pasukan Kota Junior yang kini mengumpul tiga mata daripada perlawanan pertamanya menentang Eagles Blues FC tempoh hari.
Jaringan Pasukan Arbisyam disumbatkan oleh Syawan Haji Hassan yang menjaringkan gol pada minit ke-19 dan 36 dan jaringan Arbisyam ditersumbat lagi oleh Mohammad Hamiduddin Haji Talip pada minit ke-44.
Muhammad Ali Qadhrry dan Abee Shahrum Gudang melengkapkan kemenangan buat Pasukan Arbisyam, sementara jaringan tunggal MS ABDB dijaringkan oleh Muhammad Aqqimul pada minit ke-44.
Dengan keputusan ini, MS ABDB kini berada di tangga keempat liga setelah hanya mampu seri dengan Pasukan Rzifiz pada perlawanan lalu dengan jaringan 4 – 4.
