Arca penyu laut tingkat kesedaran kitar semula

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 7 JUN – Apa yang bermula sebagai cara untuk meluangkan masa semasa pandemik COVID-19 telah membawa kepada penghasilan arca penyu laut diperbuat daripada penutup botol, botol plastik dan selipar yang dikumpulkan di sepanjang pesisir pantai sekitar Panaga.

Arca seni berkenaan telah diserahkan kepada sebuah restoran tempatan di Kelab Panaga, petang kelmarin.

Arca berkenaan adalah idea seorang tukang kayu dan pereka butik barang kemas berkemahiran, Tobias bin Tahal yang menggunakan kemahiran dan bakatnya dalam mengumpulkan sampah terbuang di se- panjang pantai Panaga untuk menghasilkan arca luar biasa berkenaan.

Beliau menyatakan bahawa arca seni yang diberikannya nama Betty Bottletop berkenaan mengambil masa kira-kira dua bulan untuk disiapkan dan secara keseluruhannya, menggunakan 749 penutup botol, 16 selipar dan 10 botol plastik.

Menurut beliau, dengan ke-perluan bagi penjarakan sosial semasa pandemik COVID-19, beliau kerap menggunakan masa terluangnya untuk pergi ke pantai berkenaan bagi mengumpulkan barangan terbuang yang dihanyutkan semasa perubahan air pasang surut.

Tobias turut memberitahu bahawa beliau menggunakan basikal buatan sendiri bagi menarik treler untuk mengumpulkan sampah dari kawasan pantai Kelab Panaga hingga pantai berdekatan Monumen Bilion Tong.

Beliau telah menyerahkan arca penyu berkenaan kepada Kafe Pantai Azul untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan tiga ‘R’ iaitu Reduce, Reuse dan Recycle yang merupakan pergerakan alam sekitar yang dikongsikan oleh Mari Gonzalez iaitu pemilik bersama Ricardo’s Catering yang mengendalikan kafe berkenaan.

Mari Gonzalez menerima arca penyu laut daripada Tobias.