Arca tenggiling di KKIA tingkat kesedaran orang ramai

KOTA KINABALU, 21 JAN – Sebuah arca tenggiling diperbuat daripada bahan kitar semula ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai dalam memulihara mamalia itu.

Arca itu, yang diperbuat daripada papan pengiklanan polikarbonat dikitar semula dan botol terpakai, diletakkan di hadapan balai ketibaan KKIA.

Inisiatif ini hasil usaha bersama Future Alam Borneo, Pusat Lapangan Danau Girang, Malaysia Airport Berhad, Jabatan Hidupan Liar, Scubazoo TV dan Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew ketika melancarkan arca tenggiling itu hari ini menyambut baik usaha itu sebagai kesinambungan program pertama di Lapangan Terbang Sandakan pada 2018 dengan lokasi seterusnya di Lapangan Terbang Tawau.

Menurutnya sebagai pintu masuk utama pelancong domestik dan antarabangsa ke Sabah, KKIA adalah lokasi yang sesuai untuk menarik perhatian mereka.

“Ini dapat memberi pemahaman dan menghargai bukan sahaja hidupan liar tetapi juga persekitaran negeri ini dengan rakyat dan kepelbagaian budayanya,” katanya. Justeru, beliau meminta rakan-rakan dalam industri pelancongan memainkan peranan mereka dalam menyokong perjuangan menentang jenayah hidupan liar dan membantu berkongsi maklumat yang benar mengenainya dan undang-undang berkaitan di negara ini.

Tenggiling diklasifikasikan sebagai haiwan yang dilindungi sepenuhnya di Sabah dan dalam kumpulan sama dengan orang utan, beruang madu dan gajah.

Aktiviti memburu, memakan atau menjual tenggiling atau bahagian anggotanya adalah salah dan boleh dikenakan denda maksimum seperti yang diperuntukkan di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997. – Bernama