Archie Yates mula ‘tunjuk taring’

Prestasi pelakon cilik Archie Yates menerusi filem komedi tidak perlu disangkal lagi.

Bermula dengan naskhah Jojo Rabbit pada 2019, Archie kini meluaskan pengaruhnya dalam bidang lakonan menerusi filem Home Sweet Home Alone.

Mengakui gemar menonton dan melibatkan diri dalam penghasilan filem berbentuk komedi, namun, bagi pemain filem berusia 12 tahun ini, suda tiba masanya untuk mencuba sesuatu yang berlainan bagi mengembangkan lagi portfolio seninya.

“Satu topik yang bagus untuk dibincangkan apabila ada yang bertanya tentang jenis projek yang akan saya jayakan pada masa akan datang.

“Melihat kembali filem saya yang pernah saya jayakan terdahulu, kebanyakannya berteraskan komedi. Dan saya akui, komedi juga merupakan salah satu genre kegemaran saya untuk dijadikan bahan tontonan. Saya juga gemar menjayakan filem yang digarap khas untuk tontonan seisi keluarga.

Archie memberitahu yang dia sedang dalam proses menulis skrip dan bercita-cita untuk menjadi pengarah filem satu hari nanti. – Agensi

“Namun, apabila sudah meningkat usia, saya sedar yang saya boleh melakukan banyak perkara dalam karier lakonan saya. Sekarang, saya sudah explore genre-genre berbeza seperti drama,” katanya menerusi sidang media virtual Home Sweet Home Alone yang berlangsung baru-baru ini.

Dalam pada itu, Archie memberitahu yang dia sedang dalam proses menulis skrip dan bercita-cita untuk menjadi pengarah filem satu hari nanti.

“Selain meneroka genre berbeza, saya juga menulis skrip yang bertemakan komedi aksi. Bukan itu sahaja, saya juga bercita-cita menjadi pengarah suatu hari nanti,” katanya.

Ditanya mengenai lakonannya dalam Home Sweet Home Alone, Archie berkata, dia inginkan penonton menyaksikan jalan cerita berbeza yang diangkat dalam filem terbaharu daripada francais Home Alone itu.

“Tidak banyak inspirasi yang saya ambil daripada filem Home Alone terdahulu, sungguhpun saya menonton filem-filem berkenaan setiap kali tibanya Sambutan Hari Natal. Hal ini kerana, filem itu menampilkan jalan cerita berbeza walaupun berkongsi universe serupa,” katanya lagi. – Agensi