Ardern umum belanjawan rangsang ekonomi

WELLINGTON, 20 MEI – Perdana Menteri New Zealand (NZ) Jacinda Ardern mengumumkan belanjawan perbelanjaan besar hari ini bertujuan merangsang ekonomi yang terkesan koronavirus sementara melaksanakan pembaharuan progresif yang lama dinanti-nantikan.

Pemimpin itu, yang berdepan kritikan sebelum pilihan raya tahun lalu atas pendekatan beliau yang was-was untuk melaksanakan perubahan, mengumumkan rangsangan pembiayaan yang besar untuk bayaran kebajikan, perumahan sosial dan kesihatan.

“Kami memastikan pemulihan kami tidak meninggalkan sesiapa di belakang,” kata Ardern.

“Ia adalah apa yang digelar sebagai strategi sambil menyelam minum air – menetapkan dasar yang memastikan kewangan kami tetap mampan sementara membangunkan New Zealand yang lebih kukuh untuk masa depan.”

Ardern berkata rangsangan berjumlah NZ$3.3 bilion diperuntukkan untuk faedah keluarga merupakan pertambahan kebajikan terbesar dalam satu generasi dan akan membantu 33,000 kanak-kanak miskin.

Sektor kesihatan menerima NZ$4.7 bilion tambahan, manakala perbelanjaan ke atas pengangkutan awam dan pendidikan juga meningkat.

Ardern juga mengenal pasti pengurangan perubahan iklim sebagai salah satu dasar utama kerajaannya, memperuntukkan NZ$300 juta untuk teknologi karbon rendah dan hampir NZ$350 juta untuk membaik pulih Pangkalan Scott New Zealand di Antartika, sumber utama untuk data iklim.

Langkah tersebut akan melihat hutang kerajaan dalam peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat daripada 26.3 peratus tahun lalu kepada 48 peratus pada 2023.

“Ia sudah tentunya besar berbanding sebelumnya, namun ia merupakan res-pons yang wajar terhadap situasi yang kami hadapi,” kata Menteri Kewangan Grant Robertson. – AFP

Gambar fail menunjukkan Jacinda Ardern bercakap semasa sidang media di Wellington. Ardern mengumumkan belanjawan perbelanjaan besar kelmarin bertujuan merangsang ekonomi yang terjejas COVID-19. – AFP