Arfak kaya dengan kepelbagaian sumber alam

MESKIPUN Kabupaten Pergunungan Arfak terpisah dari daerah Monokwari dan menjadi satu kuasa autonomi atau hak pemerintahan sendiri pada tahun 2012, namun ia masih ketinggalan berbanding daerah-daerah lain di sekitar Wilayah Papua Barat yang terletak di Indonesia Timur. Pergunungan Arfak merupakan daerah yang berpotensi untuk industri pertanian dan pelancongan berikutan kekayaan semula jadinya, namun penduduk tempatan di sekitar kawasan itu masih hidup dalam kemiskinan.

Sehubungan itu, pihak kerajaan perlu memainkan peranan penting bagi menyelesaikan isu kemiskinan dengan menyediakan pembangunan infrastruktur, meningkatkan industri desa dan pembangunan aktiviti lain dalam usaha memberi kemajuan untuk penduduk setempat. Presiden Indonesia, Joko Widodo atau dikenali sebagai Jokowi turut memberi keutamaan dalam kebajikan penduduk Orang Asli di sekitar Papua dan Papua Barat.

Jokowi turut berjanji untuk memberi komitmen dengan sentiasa mengadakan lawatan ke Papua dan Papua Barat bagi melihat proses pembangunan di sana. Sementara itu, sumber alam semula jadi yang mempunyai potensi besar dalam industri pertanian dan pelancongan di Pergunungan Arfak perlu dibangunkan sebaiknya bagi meningkatkan taraf kehidupan penduduk tempatan.

Menurut Setiausaha Kerajaan Wilayah Papua Barat, Nataniel Mandacan, pihaknya mengakui kemiskinan merupakan antara masalah utama di kawasan tersebut meskipun mereka mempunyai sumber alam semula jadi terutamanya dalam bidang hortikultur. Jelasnya, sektor tersebut boleh dimanfaatkan dengan mengadaptasi kaedah pengurusan moden dalam usaha menjalankan program pembasmian kemiskinan di kawasan itu.

“Kawasan di sekitar Pergunungan Arfak sangat sesuai dibangunkan sebagai tempat hortikultur dengan mengamalkan aktiviti berasaskan ekopelancongan. “Pun begitu, ia perlu dibangunkan dengan teliti bagi mengelakkan sebarang bencana alam berikutan kawasan tersebut berisiko tinggi berdepan ancaman banjir lumpur dan tanah runtuh. “Justeru, kemudahan yang mencukupi untuk pembangunan ekopelancongan perlu dibina jika ingin mengamalkan corak pertanian moden di kawasan gunung tersebut,” katanya.

Pergunungan Arfak merupakan daerah yang berpotensi untuk industri pertanian dan pelancongan berikutan kekayaan semula jadinya, namun penduduk tempatan di sekitar kawasan itu masih hidup dalam kemiskinan.
Pergunungan Arfak merupakan daerah yang berpotensi untuk industri pertanian dan pelancongan berikutan kekayaan semula jadinya, namun penduduk tempatan di sekitar kawasan itu masih hidup dalam kemiskinan.

Ekonomi

Walaupun industri ekopelancongan akan memberi potensi besar kepada pembangunan ekonomi masyarakat di Pergunungan Arfak tetapi ia mesti dilaksanakan dengan betul. Pergunungan Arfak terletak di selatan Wilayah Papua Barat. Ia merupakan kawasan hutan hujan tropika yang terbiar.

Dalam tempoh beberapa tahun lalu, hutan hujan tropika di Pergunungan Arfak telah menerima kunjungan pelancong dari seluruh pelosok dunia yang ingin menyaksikan kekayaan flora dan fauna.

Pelancong dapat meluangkan masa untuk menikmati pelbagai aktiviti ekopelancongan di samping menerokai hutan yang menawarkan pelbagai jenis tumbuhan tropika. Gabenor Wilayah Papua Barat, Abraham Atuturi menjelaskan, pihaknya begitu komited membangunkan kesemua kawasan di wilayah tersebut seperti membina akses yang lebih baik untuk ke daerah berkenaan. Lapangan Terbang Irai yang terletak di kawasan Gunung Arfak turut dibangunkan bagi menarik lebih ramai kedatangan pelancongan ke kawasan tersebut.

Lapangan terbang

Jurucakap Pengangkutan Udara Tempatan, Maryanto berkata, sejak pertengahan tahun 2015, sepasukan pengesahan daripada Kementerian Pengangkutan telah mengkaji lapangan terbang Irai yang terletak di rantau Anggi. “Semasa semakan berkenaan, pasukan pengesahan menjelaskan landasan yang terdapat di Lapangan Terbang Irai boleh dipanjangkan lagi bagi menerima kehadiran kapal terbang bersaiz lebih besar. “Pun begitu, kepakaran pengurusan sumber manusia masih menjadi halangan utama bagi menguruskan lapangan terbang terbabit,” ujarnya.

Kerajaan tempatan turut disaran supaya menyerahkan pengurusan lapangan terbang sebagai salah satu aset Kementerian Pengangkutan dalam usaha membangunkan lapangan terbang pada kadar segera.

Usaha tersebut dilihat mampu melonjakkan nama Gunung Arfak sebagai salah sebuah kawasan pelancongan negara. Gunung Arfak mempunyai Tasik Anggi yang mempesonakan.

Hutan hujan tropika di Pergunungan Arfak telah menerima kunjungan pelancong dari seluruh pelosok dunia yang ingin menyaksikan kekayaan flora dan fauna.
Hutan hujan tropika di Pergunungan Arfak telah menerima kunjungan pelancong dari seluruh pelosok dunia yang ingin menyaksikan kekayaan flora dan fauna.

Ia terletak di belakang kaki kawasan pergunungan tersebut. Indonesia merupakan negara yang mempunyai beberapa kawasan tarikan pelancongan bersejarah. Tasik Anggi merupakan salah satu daripadanya.

Dengan jarak perjalanan mengambil masa kira-kira enam jam dari bandar Manokwari, pelancong akan tiba di kawasan pergunungan dan Tasik Anggi yang menawarkan pemandangan indah dan udara segar. Tasik tersebut terletak kira-kira 2,000 meter pada paras laut dan mempunyai suhu antara lapan hingga 20 darjah Celsius. Setibanya di kawasan tasik, pelawat akan terpesona melihat kehidupan tradisi penduduk tempatan.

Aktiviti percutian

Kawasan tasik tersebut sangat sesuai untuk aktiviti percutian keluarga bagi menghilangkan perasaan bosan dan menawarkan peluang untuk menikmati pelbagai aktiviti seperti berkelah, berkhemah, memancing, bergambar atau sekadar berjalan menikmati kedamaian cuaca di sana.

Memandangkan kewujudan tasik masih kurang diketahui pelancong luar, promosi yang lebih giat perlu dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran pelancong tempatan dan antarabangsa.

Tambahan juga, kerajaan tempatan juga perlu menyediakan kemudahan pelancongan bagi aktiviti sokongan di Tasik Anggi yang menjadi sumber keuntungan kepada penduduk setempat.

Ini merupakan masa yang sesuai kepada kerajaan tempatan untuk membina kemudahan pelancongan dan mempromosikan keindahan Tasik Anggi bagi menarik lebih ramai pelancong tempatan dan luar negara.

Sehingga kini, tasik tersebut hanya dikunjungi oleh pelawat yang menetap di kawasan sekitar. Jika ia dipromosikan dengan bersungguh-sungguh, ia mampu meningkatkan jumlah pelancong dan ekonomi setempat. – Agensi