Argentina alu-alukan keputusan AS tidak kenakan tarif keluli

BUENOS AIRES, 27 JAN – Argentina mengalu-alukan keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk tidak mengenakan tarif keluli dan aluminium negara Amerika Selatan itu, yang telah diancam Presiden Donald Trump pada Disember lalu.

“Kami baharu diabaikan, dalam cara yang baik, komunikasi dalaman daripada presiden AS mengenai isu ini. Senarai nama negara yang disekat telah keluar dan Argentina tidak termasuk,” Menteri Luar, Felipe Sola berkata dalam satu temu bual kelmarin dengan Radio 10.

“Kami berpuas hati melihat keputusan ini. Kami berasa gembira,” Presiden Alberto Fernandez berkata dalam satu temu bual dengan televisyen C5N.

Pada 2 Disember, seminggu sebelum Fernandez mengambil alih pejabat, Trump mengumumkan melalui siri tweet bahawa beliau akan mengembalikan tarif ke atas keluli dan aluminium yang diimport dari Brazil dan Argentina, menuduh mereka memanipulasi mata wang mereka dan menjejaskan petani AS.

“Brazil dan Argentina telah mengawal penurunan nilai mata wang mereka secara besar-besaran,” yang menjejaskan petani Amerika, Trump berkata.

“Berkuat kuasa serta merta, saya akan mengembalikan tarif keluli dan aluminium yang dihantar ke AS dari negara-negara tersebut.”

Pada 2018, Trump telah mengumumkan tarif global sebanyak 25 peratus terhadap keluli dan 10 peratus pada aluminium tetapi kemudian meluluskan pengecualian untuk sesetengah negara, termasuk Argentina dan Brazil yang menyetujui kuota. – AFP