Argentina ke suku akhir

PORTO ALEGRE, 24 JUN – Jaringan awal Lautaro Martinez dan gol kedua lewat Sergio Aguero memberi Argentina kemenangan 2-0 ke atas Qatar kelmarin, sekali gus melayakkan mereka ke suku akhir Copa America.

Colombia yang sudahpun layak mengalahkan Paraguay 1-0 dalam aksi Kumpulan B lain menjamin tempat dalam lapan terakhir bersama Peru yang menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan A dan Uruguay kini berada di tempat kedua Kumpulan C.

Argentina yang menduduki tempat kedua Kumpulan B di belakang Colombia, akan menentang Venezuela pada suku akhir, manakala penampilan tetamu Qatar tidak dapat diteruskan.

Paraguay, dengan dua mata, harus menunggu dan melihat hasil pertembungan Kumpulan C antara Jepun dan Ecuador lewat hari ini sebelum mengetahui apakah mereka layak sebagai salah satu daripada dua pasukan tempat ketiga terbaik.

Peru, dengan empat mata amat yakin sementara seri antara Jepun dan Ecuador akan menyaksikan Paraguay mara lagi ke hadapan.

Martinez (kiri) meraikan jaringan bersama rakannya Aguero ketika menentang Qatar di Gremio Arena di Porto Alegre, kelmarin. – AFP

Jurulatih Argentina Lionel Scaloni memanggil penyerang Manchester City Aguero sementara Martinez mengekalkan kedudukannya dengan mengorbankan Angel Di Maria.

Juara Asia membuat permulaan buruk dari awal apabila tandukan lemah Tarek Salman jatuh kepada Martinez 12 meter dari gawang, namun rembatan pemain Inter Milan melepasi palang.

Martinez tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan peluang ketika Bassam Hisham silap membuat hantaran dalam kotak penalti dan penyerang Argentina itu meledak ke sudut bawah setelah hanya empat minit.

Argentina sedikit lega dan mereka bermain dengan kebebasan yang diharapkan dari bakat pasukan seperti Aguero dan pemenang Ballon d’Or lima kali Lionel Messi.

Qatar bermain dengan cita-cita yang terhad tetapi pemain berbakat mereka kelihatan berbahaya apabila melangkah jauh ke hadapan. – AFP