BUENOS AIRES, 18 JAN – Imej tradisional seorang penyembelih daging Argentina yang mengusung setengah bangkai lembu di belakangnya kini hanya menjadi sejarah.
Sejak mengambil alih kuasa pada 2019, kerajaan berhaluan kiri-tengah di bawah pimpinan Presiden Argentina, Alberto Fernandez telah berazam untuk menamatkan amalan itu atas dasar kebersihan dan kesihatan.
Ia memutuskan baru-baru ini bahawa potongan ‘separuh haiwan’ boleh diawet tetapi penjual daging tidak lagi dibenarkan membawanya di belakang mereka.
Penyembelih daging yang membengkokkan badan untuk membawa potongan besar haiwan adalah adegan yang terkenal di Argentina, di mana rakyatnya makan hampir 48 kilogram daging setahun per kapita, menurut statistik rasmi.
“Kita perlu menentukan sama ada kita terus mengkomersialkan daging lembu seperti 150 tahun lalu,” kata Setiausaha Pertanian, Juan Jose Bahello baru-baru ini.
Sektor itu sendiri berbelah bagi mengenai isu yang telah lama berlarutan. Ada yang memihak kepada pemodenan dan menghalang kepingan besar daging bersentuhan dengan permukaan lain.
Tetapi ramai yang berpendapat bahawa peraturan baharu itu akan memberi manfaat kepada pengeksport utama sehingga menjejaskan pengeluar yang lebih kecil yang tidak mempunyai dana yang cukup untuk melabur dalam jentera baharu. – AFP
