Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Lapan buah keluarga dari Daerah Temburong, Tutong dan Brunei dan Muara telah menerima sumbangan dalam Program Berbagi Rezeki Abdul Razak Holdings Sdn Bhd (ARH) yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Persatuan Pacuan Empat Roda Brunei, hari ini.
Mengetuai rombongan dan seterusnya menyampaikan sumbangan kepada para penerima ialah wakil dari ARH, Haji Suhaimei bin Haji Besar diikuti dengan penyampaian sumbangan peribadi daripada keluarga ahli lembaga.
Program dimulakan dengan penyerahan sumbangan di Kampung Pengkalan Sibabau dan diteruskan ke Kampung Sibut, Kampung Bebuloh, Kampung Kuala Ungar, Kampung Pitan dan diakhiri di Kampung Penapar.
Sumbangan adalah hasil kutipan daripada ahli keluarga lembaga syarikat dan merupakan antara salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat mereka dalam memeduli dan membantu golongan yang memerlukan serta bagi meringankan bebanan menjelang sambutan Hari Raya.
Antara sumbangan yang dihulurkan adalah berbentuk kewangan, barang keperluan asasi dan makanan.
Sejurus selepas pengagihan sumbangan berkenaan, pihak Rizqun mengadakan majlis berbuka puasa di Hotel Antarabangsa Rizqun.