Ari Lasso disahkan hidap kanser limfoma tahap dua

Pengumuman penyanyi terkenal Indonesia, Ari Lasso mengenai penyakit kanser yang dihidapi olehnya mengejutkan ramai peminat.

Menurut laporan KapanLagi, Ari disahkan menghidap kanser limfoma tahap dua dan didiagnosis sebagai Diffuse large B-cell lymphoma (DLBCL) yang jarang berlaku dalam kalangan pesakit kanser.

Doktor mengesan kanser itu selepas Ari mengadu sakit perut melampau dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat ketumbuhan pada kelenjar limfanya.

Ari sudah menerima rawatan di hospital pada awal Ogos lalu dan menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan tersebut.

Pembedahan itu mencemaskan kerana Ari kehilangan banyak darah, namun selepas beberapa jam ia berjaya dilakukan oleh doktor pakar.

Meskipun ketumbuhan pada limfa itu telah dibuang, Ari berkata dia masih belum bebas daripada kanser dan perlu menjalani rawatan kimoterapi yang akan dilakukan selama tiga bulan di Singapura.

Penyanyi berusia 48 tahun ini juga dinasihati oleh doktor untuk tidak berjumpa dengan orang ramai kerana tahap imunisasi badannya terlalu lemah kerana kanser tersebut.

Dalam pada itu, Ari meluahkan keyakinan dia akan sembuh dan pulih daripada kanser tersebut.

Namun untuk sementara waktu, dia memilih untuk tidak bertemu dengan orang ramai selain keluarganya sahaja. – Agensi

Ari Lasso selesai jalani pembedahan pada awal Ogos lalu. – Agensi