PENYANYI, Ariana Grande membatalkan konsert jelajahnya di Vietnam hanya beberapa jam sebelum ia bermula atas nasihat doktor sebagaimana mengikut laporan dipetik Metro.co.uk.
Dia yang popular dengan lagu ‘Side to Side’ itu dijadualkan beraksi di negara tersebut. Grande kemudiannya menulis di Instagram miliknya menjelaskan perkara tersebut.
“Sayangku di Vietnam, saya minta maaf seikhlas hati namun kini saya berdepan dengan masalah kesihatan.
“Saya hadir ke Vietnam dengan harapan untuk beraksi di hadapan anda semua namun doktor melarang saya melakukan persembahan pada malam ini, maafkan saya,” tulisnya. Tambah penyanyi itu lagi, walaupun tidak suka menghampakan peminatnya, dia terpaksa melakukannya.
“Saya berjanji akan menebus kesilapan ini pada masa akan datang.
“Saya sayang anda semua, terima kasih kerana memahami,” tulisnya.