Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Okt – Awang Nur Arief Zulfadhly bin Nor Hashim dan Dayang Jasmine Basyirah binti Haji Jefri muncul johan bagi kategori masing-masing dalam Peraduan Syarahan Tafsir AI-Quran bagi sekolah-sekolah agama yang diadakan di Dewan Sekolah Ugama (SU) Pengiran Anak Puteri Hafizah Sururul Bolkiah, Berakas, hari ini.
Dengan tajuk syarahan ‘Ajaran Sesat Menghancurkan Ummah’, Awang Nur Arief Zulfadhly dari SU Penanjong, Tutong menjuarai kategori lelaki diikuti oleh Awangku Mohammad Daniel Azwandy bin Pengiran Faisal dari SU Pelambayan, Brunei I di tempat kedua dan Awang Mohammad Aiman Nazwan bin Haji Roslani dari SU Katok A Brunei III ketiga.
Manakala itu, Dayang Jasmine Basyirah juga dari SU Penanjong, Tutong menjuarai kategori perempuan dengan syarahan bertajuk ‘Masjid Membentuk Perpaduan Ummah’ disusuli oleh Dayang Affy Beatreasha binti Abdullah dari SU Pelambayan, Brunei I di tempat kedua dan Dayang Aleeya Maisarah binti Amizulfazri dari SU Perpindahan Lambak Kanan Jln 77 selaku pemenang ketiga.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Penolong Pengarah (Profesional), Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Hajah Norjarah binti Haji Luidin.
Acara tahunan yang dikendalikan oleh JPI itu diadakan untuk mendidik, mengasuh dan mencungkil bakat para pelajar di samping memberi kesedaran dan keyakinan kepada mereka agar sentiasa komited menghayati ajaran Islam.
Peraduan syarahan berkenaan telah disertai oleh 122 orang pelajar, namun hanya enam orang peserta sahaja yang berjaya mara ke peringkat akhir setelah melalui peringkat pemilihan.
Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan bacaan Saidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, sebelum pertandingan dimulakan. Acara berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan Tausyeh oleh para pelajar SU Pengiran Anak Puteri Hafizah Sururul Bolkiah.

