Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Arif Fadzilah tetap setia bersama TFC

    KUALA TERENGGANU, 7 DIS – Desas-desus mengenai penghijrahan pemain pertahanan Terengganu FC (TFC), Arif Fadzilah Abu Bakar ke Perak FC ternyata sekadar khabar angin.

    Perkara itu disahkan oleh Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), yang mengumumkan bahawa pemain tersebut telah menandatangani kontrak lanjutan selama setahun dengan skuad Penyu untuk saingan musim hadapan.

    Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Abdul Rasid Jusoh berkata pemain kelahiran Terengganu berusia 26 tahun itu memilih untuk setia dengan TFC walaupun menerima beberapa tawaran daripada pasukan Liga Super yang lain.

    “Arif Fadzilah adalah antara pemain pertahanan terbaik TFC dan telah bersama kami selama tiga musim. Keputusan untuk mengekalkan beliau adalah berdasarkan prestasi yang cemerlang musim ini.

    “Kehadiran beliau diharap dapat memperkuat kubu pertahanan dan membantu pasukan mengharungi Liga Malaysia (Liga M) dan saingan Piala Konfederasi Asia (AFC) tahun depan dengan lebih cemerlang,” katanya dalam kenyataan kelmarin.

    Sementara itu, Arif Fadzilah berkata beliau memilih untuk terus kekal di bumi Darul Iman kerana sudah selesa dengan pasukan dan ingin merasai pengalaman beraksi di bawah kendalian ketua jurulatih TFC yang baharu, Tomislav Steinbruckner.

    Walaupun menyedari persaingan untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama pada musim depan adalah sengit, ia tidak menjadi halangan untuk bekas pemain Skuad Kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) ini menyahut cabaran dan meningkatkan prestasi lebih baik pada masa akan datang.

    “Persaingan daripada rakan sepasukan iaitu Alif Zakaria dan Hairiey Hakim (Hairiey Hakim Mamat) pastinya menuntut saya untuk bekerja keras.

    “Tetapi dengan format baharu Liga M musim depan,  peluang untuk pemain beraksi adalah lebih tinggi kerana lebih banyak perlawanan bakal berlangsung termasuk Piala AFC,” katanya yang pernah beraksi dengan Felda United FC. – Bernama

    Arif Fadzilah berkata beliau memilih untuk terus kekal di bumi Darul Iman kerana sudah selesa dengan pasukan dan ingin merasai pengalaman beraksi di bawah kendalian ketua jurulatih TFC yang baharu, Tomislav Steinbruckner. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...