Arkitek bangunkan sistem perisian parkir mesra OKU

KUALA LUMPUR – Sikap segelintir masyarakat yang tidak prihatin dengan menyalahgunakan kemudahan ruang parkir orang kurang upaya (OKU) baik di tempat awam, pejabat mahupun di pusat beli-belah sudah acap kali dibicarakan.

Walaupun pelbagai kempen dilakukan termasuk menerusi media sosial, golongan ‘keras kepala’ ini tetap wujud sehingga menyusahkan OKU yang terpaksa berebut dengan mereka setiap kali ingin menggunakan kemudahan itu.

Kesal dengan keadaan itu, Mizral Abdul Manan, 50, yang merupakan OKU fizikal mengambil inisiatif membangunkan sistem tempat letak kereta mesra OKU yang dinamakan EZ OKU PARKIN’ sejak Ogos tahun lepas.

Beliau yang mengalami strok menyebabkan ketidakupayaan anggota badan sebelah kanan sejak sembilan tahun lalu, berkata sistem itu menggunakan teknologi Radio Frequency Identification (RFID) yang mampu mencegah golongan tidak bertanggungjawab menggunakan parkir khas berkenaan.

“Saya sendiri selalu menjadi mangsa terutamanya apabila ke pusat beli-belah, tempat parkir khas OKU senang-senang ‘dicuri’ golongan yang sempurna fizikalnya sehingga menyusahkan kami.

Sistem ‘EZ OKU PARKIN’ terdiri daripada kad yang dilengkapi teknologi NFC yang bertindak sebagai dokumen identiti elektronik dan pelekat kenderaan menggunakan teknologi RFID. – Bernama

“Bahkan ada yang enggan mengalah dan marah apabila ditegur, menyebabkan saya terpanggil untuk mencipta satu sistem khas bagi kemudahan parking OKU,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang merupakan seorang arkitek di sebuah syarikat swasta di Ipoh, Perak, berkata dengan bantuan dua rakannnya, Shaharom Yeop Alip, 65, dan Hilmi Ibrahim, 60, mereka melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sistem itu sejak Mac 2020.

Sistem itu terdiri daripada kad yang dilengkapi teknologi Near Field Communication (NFC) yang bertindak sebagai dokumen identiti elektronik dan pelekat kenderaan RFID yang perlu dilekatkan di permukaan dalam cermin hadapan kereta untuk diimbas oleh antena peranti RFID EZ OKU PARKIN’.

“Alat antena pula akan dipasang di setiap petak parkir khas OKU, supaya alat pengimbas RFID dapat memancarkan gelombang radio frekuensi tertentu melalui antena.

“Sekiranya pemandu tanpa kad meletak kenderaannya pada petak parkir OKU, dalam tempoh tiga minit penggera akan berbunyi dengan kuat dan mengambil gambar kenderaan berkenaan secara automatik bagi membolehkan pihak yang berkenaan mengambil tindakan lanjut,” katanya.

Mizral berkata kesemuanya menggunakan komponen yang mudah diperoleh di pasaran seperti sistem RFID, kamera mini, bateri, solar, cip komputer, dan kad memori.

Menurut beliau sistem itu sudah dibentangkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 4 Ogos lepas untuk kelulusan bagi diguna pakai di semua petak parkir khas OKU yang ada di negara ini.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan agar kad EZ OKU PARKIN’ ini diberi secara percuma kepada warga OKU yang berdaftar di bawah JKM. “Tujuan saya bukanlah nak mencari keuntungan, cuma nak beri kemudahan kepada warga OKU. Reka bentuk sesuatu ciptaan adalah ilham daripada Allah SWT, ada sebabnya saya daripada normal menjadi OKU, jadi ini adalah hadiah saya yang tak seberapa untuk warga OKU,” katanya yang memiliki kelulusan diploma seni bina. – Bernama