Armenia, Azerbaijan setuju gencatan senjata

BAKU, 17 NOV – Gencatan senjata yang diaturkan Rusia diumumkan hari ini di sempadan Armenia dan Azerbaijan, menurut pegawai, sehari selepas pertempuran berdarah antara kedua-dua negara bermusuh yang mencetuskan kebimbangan satu lagi ketegangan dalam perbalahan wilayah.

Kelmarin, pertempuran antara tentera Armenia dan Azerbaijan mengakibatkan lapan tentera terkorban dalam pertelingkahan terburuk sejak perang tahun lalu mengenai perbalahan wilayah Nagorno-Karabakh.

Konflik selama enam minggu, yang didakwa meragut lebih 6,500 jiwa, berakhir November lalu menerusi perjanjian usaha damai Rusia yang menyaksikan Armenia menyerahkan wilayah yang ditadbirnya selama berdekad-dekad.

Pertempuran kelmarin berakhir pada waktu malam selepas usaha damai oleh Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu.

“Tujuh anggota tentera terkorban dan 10 lagi tercedera dalam pertempuran yang tercetus kelmarin oleh Armenia,” menurut menteri pertahanan Azerbaijan, menambah situasi di sempadan ‘stabil pada malam kelmarin’.

Menteri pertahanan Armenia, berkata seorang tenteranya terbunuh, 13 ditahan oleh pihak Azerbaijan dan 24 lagi masih hilang.

Ia berkata ‘situasi di sempadan timur dilihat tenang dan perjanjian gencatan senjata dihormati’ pada pagi hari ini. – AFP