YEREVAN, 12 OKT – Kementerian Luar Armenia semalam mendakwa tindakan provokatif Turki boleh menggugat kestabilan di rantau itu, lapor agensi berita Sputnik.
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan provokatif Turki di wilayah kami dan hargai kerjasama semua pihak yang mahu kestabilan di rantau itu berkekalan,” memetik kenyataan kementerian luar.
Menurut Yerevan, Turki menjadi penggerak utama di sebalik pencerobohan Azerbaijan di Nagorno-Karabakh.
“Jelas Turki berada di belakang pencerobohan tentera Azerbaijan terhadap Artsakh (Nagorno-Karabakh), tidak berputus asa untuk terus mengganggu-gugat keadaan dan menggagalkan perjanjian yang dicapai,” kata Kementerian Luar Armenia.
Pihak Armenia turut mendakwa Ankara membekalkan tentera Azerbaijan dengan pengganas asing dari Timur Tengah. – Bernama