YEREVAN, 24 SEPT – Perdana Menteri Armenia, Nikol Pashinyan, hari ini mengkritik secara halus sekutu lamanya, Rusia, yang menyifatkan sistem keselamatan luar negaranya sebagai ‘tidak berkesan.’
Komen Pashinyan yang disiarkan di seluruh negara itu menandakan peralihan dasar luar negara yang besar dari Moscow, di mana kritikan terhadap Armenia juga telah berkembang.
“Sistem keselamatan luar yang melibatkan Armenia adalah tidak berkesan apabila membabitkan perlindungan keselamatan dan kepentingan nasional Armenia,” kata Pashinyan beberapa hari selepas kemenangan besar Azerbaijan di wilayah Nagorno-Karabakh yang dipertikaikan.
Armenia merupakan ahli Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif (CSTO), kumpulan yang dikuasai oleh Rusia terdiri daripada enam negara bekas Soviet.
Seperti NATO, kumpulan itu berjanji untuk melindungi anggota lain yang diserang.
Namun Rusia yang terlibat dalam perang di Ukraine, enggan membantu Armenia dalam konflik Nagorno-Karabakh yang terbaharu, dengan alasan Yerevan sendiri mengiktiraf wilayah yang dipertikaikan itu sebagai sebahagian daripada Azerbaijan.
“Ia adalah jelas kepada kita semua bahawa instrumen CSTO dan instrumen kerjasama ketenteraan-politik Armenia-Rusia tidak mencukupi untuk melindungi keselamatan luar Armenia,” katanya.
“Kita mesti mengubah dan menambah instrumen keselamatan luar dan dalam negeri Armenia, dengan kerjasama semua rakan kongsi yang bersedia untuk langkah-langkah yang saling menguntungkan,” kata Pashinyan. – AFP