ARNEX: tingkat keyakinan TLDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – KDB Daruttaqwa, kapal laut milik Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), baru-baru ini telah menyertai latihan tentera laut pelbagai hala di antara negara ASEAN dan Rusia, ASEAN-Russia Naval Exercise (ARNEX) 2021 yang julung kalinya diadakan.

Latihan pada 1 hingga 3 Disember lalu itu dilaksanakan di perairan Indonesia di persisiran pantai Sumatera dan melibatkan lapan buah kapal, tiga buah helikopter dan sebuah kapal terbang pemantauan laut dari Rusia dan tujuh negara ASEAN iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, hari ini, ARNEX 2021 bertujuan untuk menguatkan lagi hubungan antara ASEAN dan Rusia dan bertindak sebagai platform dalam meningkatkan kerjasama tentera laut, membina keyakinan, dan memupuk persahabatan di semua peringkat.

KDB Daruttaqwa yang diketuai oleh Komander Saiful Hazril bin Ali dengan 58 orang anggota telah berlepas dari Pangkalan Tentera Laut Muara bagi memulakan perjalanan selama 16 hari pada 25 November lalu.

Sebelum pelayaran dimulakan, majlis perpisahan diadakan yang dihadiri oleh Pemerintah TLDB, Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Spry bin Haji Serudi @Seruji serta anggota Badan Eksekutif TLDB untuk penyerahan sumbangan yang akan disampaikan kepada komuniti Aceh.

KDB Daruttaqwa, kapal laut milik Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), baru-baru ini telah menyertai latihan tentera laut pelbagai hala di antara negara-negara ASEAN dan Rusia, ASEAN-Russia Naval Exercise (ARNEX) 2021 yang julung kalinya diadakan. Latihan berlangsung pada 1 hingga 3 Disember lalu itu dilaksanakan di perairan Indonesia di pesisiran pantai Sumatera dan melibatkan lapan buah kapal, tiga buah helikopter dan sebuah kapal terbang pemantauan laut dari Rusia dan tujuh anggota negara ASEAN. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan.
KDB Daruttaqwa ketika memulakan pelayaran selama 16 hari setelah berlepas dari Pangkalan Tentera Laut Muara, manakala gambar sisipan menunjukkan DA Brunei ke Indonesia menerima tabik hormat daripada KDB Daruttaqwa semasa Admiral Inspection. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan.

KDB Daruttaqwa telah berlabuh di pesisir pantai Sumatera Utara, Indonesia pada 29 November 2021 di Belawan Anchorage Area dan menyertai majlis perasmian latihan secara dalam talian pada 1 Disember.

Majlis tersebut juga dihadiri oleh Pemerintah Armada Pertama Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Laut (TNI-AL), Laksamana Muda Arsyad Abdullah; Duta Rusia ke ASEAN, Alexander A. Ivanov; Duta Rusia ke Republik Indonesia, Lyudmila Vorobieva; Kapten (Laut) Wawan Trisatya Atmaja, TNI-AL, Commander Task Group (CTG) Latihan, dan Atasé Pertahanan dan Tentera Laut dari negara-negara yang terlibat.

Majlis perasmian tersebut telah mengalukan-alukan semua peserta dan menekankan lagi tujuan ARNEX 2021 sebagai langkah peningkatan hubungan antara ASEAN dan Rusia.

Sejurus selepas majlis perasmian, Admiral Inspection telah dilaksanakan oleh Pemerintah Armada Pertama TNI-AL dari KRI Lepu dan disertai oleh duta Rusia ke Indonesia dan atase pertahanan dan tentera laut dari negara-negara yang terlibat.

Fasa Laut ARNEX 2021 dimulakan pada 2 Disember dan meliputi latihan-latihan komunikasi, pengendalian kapal, operasi mencari dan menyelamat, serta pendaratan helikopter atas kapal. Kesemua latihan tersebut telah dikendalikan mengikut garis pandu dan langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19 di antara peserta.

Selain KDB Daruttaqwa, kapal-kapal yang terlibat adalah KRI I Gusti Ngurah Rai dari TNI-AL, KD Lekiu dari Tentera Laut Diraja Malaysia, UMS King Kyan Sit Tar dari Tentera Laut Myanmar, RSS Vigour dari Tentera Laut Republik Singapura, HTMS Kraburi dari Tentera Laut Diraja Thailand, LY Thai To dari Tentera Laut Rakyat Vietnam dan ADM Panteleyev dari Tentera Laut Rusia. Fasa Laut telah pun memainkan peranan penting untuk meningkatkan aktiviti tentera laut di antara ASEAN dan Rusia.

ARNEX 2021 telah diakhiri dengan perpisahan belayar lalu dan ucapan daripada setiap pegawai pemerintah kapal-kapal terlibat yang mana mereka bersetuju bahawa tujuan latihan telah pun tercapai dan setiap tentera laut terlibat mendapatkan nilai latihan yang tinggi selain meningkatkan keyakinan di antara yang terlibat.

Semasa membuat pelayaran pulang ke Brunei Darussalam, KDB Daruttaqwa telah melaksanakan latihan laluan bersama RSS Vigour, Tentera Laut Republik Singapura yang merangkumi latihan komunikasi dan Manoeuvring Exercise.

Pelayaran itu juga telah memberi peluang kepada TLDB untuk menyampaikan sumbangan kepada institusi Aceh di mana KDB Daruttaqwa berlabuh di Pelabuhan Belawan, Medan, Indonesia pada 4 Disember. Sumbangan daripada TLDB dipindahkan dari kapal ke jeti menggunakan kren untuk melaksanakan pemindahan tersebut tanpa interaksi fizikal.

KDB Daruttaqwa kembali ke Pangkalan Tentera Laut Muara hari ini di mana anggota kapal akan menjalani kuarantin dan ujian PCR sebagai langkah-langkah keselamatan tambahan mengikut peraturan-peraturan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.