Bintang terkenal Hollywood, Arnold Schwarzenegger, memberitahu dirinya berasa lebih hebat selepas menjalani pembedahan jantung.
Schwarzenegger, 73, berkongsi gambarnya yang memberi isyarat bagus dari katil hospital di Cleveland Clinic, serta mengucapkan terima kasih pada staf perubatan di situ. “Terima kasih kepada pasukan perubatan di Cleveland Clinic. Saya kini memiliki injap aorta baharu digabung dengan injap pulmonari daripada pembedahan terdahulu. “Saya rasa hebat dan sudah bersiar-siar menikmati keindahan Cleveland. Terima kasih buat setiap doktor dan jururawat dalam pasukan saya,” kongsinya menerusi akaun Instagram miliknya.
Schwarzenegger dilahirkan dengan kecacatan jantung, menjalani pembedahan kecemasan pada 2018 bagi menggantikan injap paru-paru lamanya yang asalnya ditukar pada 1997. Aktor yang cukup popular sejak tahun 1980an itu, dilantik sebagai Gabenor California pada tahun 2003 dan banyak memperjuangkan dasar berkaitan alam sekitar. – Agensi