Arsenal akan mula berlatih

LONDON, 26 APRIL – Skuad Arsenal akan dibenarkan untuk kembali ke padang latihan mereka minggu hadapan, meskipun kelab menegaskan mereka masih perlu mengekalkan garis panduan kerajaan Britain untuk membendung penularan koronavirus.

Pemain-pemain pasukan Liga Perdana Inggeris akan mempunyai akses ke padang latihan tetapi dengan giliran yang ketat yang mana mereka terpaksa mengikut langkah penjarakan sosial.

“Pemain-pemain akan dibenarkan untuk memasuki padang latihan kami di London Colney minggu hadapan,” kata jurucakap kelab.

“Akses akan menjadi sangat terhad, akan diurus dengan rapi dan penjarakan sosial akan dijaga pada setiap masa.

“Kesemua bangunan-bangunan Colney akan kekal ditutup. Para pemain akan membuat perjalanan bersendirian, membuat senaman secara individu dan pulang ke rumah.

Minggu ini menyaksikan Arsenal menjadi kelab Liga Perdana Inggeris pertama yang bersetuju membuat pemotongan gaji disebabkan oleh koronavirus dengan pemain dan ketua jurulatih mereka, Mikel Arteta dan pemain-pemain bintang memotong sebanyak 12.5 peratus gaji mereka.

Terdapat laporan mengatakan bahawa Arsenal, yang mempunyai bil gaji tahunan sekitar 230 juta pound, akan memberi pemain duit mereka semula jika mereka berjaya merapatkan jurang lapan mata dan layak ke kelayakan Liga-Juara-Juara apabila perlawanan bola sepak disambung semula.

Pada masa ini bola sepak telah digantungkan di England, dengan UK masih lagi di bawah perintah berkurung.- AFP

Gambar fail bertarikh 11 Mac 2020 menunjukkan reaksi pasukan Arsenal semasa meraikan gol. Skuad Arsenal akan dibenarkan untuk kembali ke padang latihan minggu hadapan tetapi mereka masih perlu mengekalkan garis panduan kerajaan Britain yang telah ditetapkan.- AP