LONDON, 20 MAC — Bukayo Saka menjaringkan dua gol ketika Arsenal menghampiri kejuaraan Liga Perdana Inggeris setelah menewaskan Crystal Palace 4-1 semalam.
The Gunners mendahului lapan mata berbanding juara semasa, Manchester City, setelah bermain lebih satu perlawanan.
Palace, yang memecat pengurusnya, Patrick Vieira minggu ini, menyaksikan kebimbangan penyingkirannya semakin meningkat selepas mencatatkan rekod tanpa kemenangan dalam 13 perlawanan dalam semua pertandingan.
Saka menjaringkan dua gol dan menyediakan gol pembuka untuk Gabriel Martinelli, menjadikannya pemain Liga Perdana pertama musim ini yang mencapai dua angka untuk kedua-dua gol dan assist. Granit Xhaka turut mencatatkan namanya dalam papan skor.
Martinelli membuka jaringan pada minit ke-28 melalui hasil hantaran silang Saka.
Walaupun Arsenal bergelut untuk menjaringkan gol, Saka berjaya menambah gol kedua pada minit ke-43 selepas menerima hantaran lintang Ben White dan menyempurnakan rembatan rendah melepasi penjaga gol Palace, Joe Whitworth. – AP
