LONDON, 21 OKT – Gol babak kedua hasil jaringan Granit Xhaka memberikan Arsenal kemenangan 1-0 ke atas PSV Eindhoven di Stadium Emirates dan layak ke pusingan kalah mati Liga Europa.
Skuad kendalian Mikel Arteta melebarkan jurang di puncak Kumpulan A kepada lima mata ke atas PSV yang merupakan perlawanan yang telah dijadualkan semula susulan kemangkatan Ratu Elizabeth II.
Kedua-dua pasukan akan bertembung sekali lagi minggu depan, dengan hanya satu mata sudah mencukupi buat Arsenal untuk mengesahkan kedudukan sebagai juara kumpulan dan mara ke kelompok 16 terakhir.
“Saya sangat gembira dapat menjaringkan gol. Saya tidak ingat bila kali terakhir menjaringkan gol dengan kaki kanan, tetapi saya sangat gembira.
“Tidak kisah dengan kaki mana, atau siapa yang menjaringkan gol. Ia memberikan kami keyakinan untuk perlawanan seterusnya,” kata Xhaka kepada BT Sport.
Dengan kemenangan keempat berturut-turut dalam saingan Eropah itu bermakna Arsenal sudah memenangi 13 daripada 14 perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan musim ini.
“Semuanya berjalan dengan lancar buat masa ini, ia bukanlah satu kejutan buat kami kerana kami sudah bekerja keras.
“Kami menang dan kalah sebagai satu kumpulan. Buat masa ini kami sangat berbahaya.”
Pendahulu Liga Perdana Inggeris itu menguasai permainan tetapi terpaksa menunggu sehingga minit ke-71 untuk memecah kebuntuan. Takehiro Tomiyasu melambung bola kepada Xhaka yang meledak gol ketiganya musim ini.
Bukayo Saka dan Gabriel Martinelli hampir menambah jaringan di akhir permainan, tetapi PSV kendalian Ruud van Nistelrooy terus bertahan. Arsenal yang mendahului juara bertahan Manchester City dengan kelebihan empat mata, akan kembali beraksi dalam Liga Perdana Inggeris menentang Southampton Ahad ini. – AFP