Arsenal, Lisbon sekadar seri

PARIS, 9 Nov – Arsenal menempah tiket ke pusingan kalah mati Liga Eropah dan memanjangkan rekod tanpa kalah kepada 15 perlawanan meskipun terikat seri 0-0 dengan Sporting Lisbon awal pagi tadi.

Perlawanan tersebut dibayangi dengan kecederaan teruk Danny Welbeck, yang baru beberapa jam disenaraikan dalam skuad England sebelum perlawanan itu dan akan tamat kontrak pada hujung musim ini.

Pemain tengah Arsenal, Matteo Guendouzi dan Aaron Ramsey kelihatan gelisah apabila Welbeck terjatuh selepas membuat lompatan untuk menanduk bola dan dia terpaksa diusung keluar pada separuh masa pertama perlawanan.

“Ia sangat mencabar dari segi mental (untuk bermain selepas rakan sepasukan anda cedera) tetapi kadang-kadang ia berlaku dalam perlawanan, dan Danny sudah banyak kali mengalami kecederaan,” kata pemain sayap Alex Iwobi kepada BT Sport.

“Kami berharap yang terbaik untuknya dan akan terus memberikannya sokongan dan dorongan untuk kembali.”

Nani (kiri) dari Sporting Lisbon mengawal bola sambil cuba dihalang oleh Matteo Guendouzi dari Arsenal dalam perlawanan Liga Eropah di Stadium Emirates. – AFP

Skuad kendalian Unai Emery menguasai permainan dalam tempoh yang panjang di Emirates menentang pasukan yang sudah memiliki tiga pengurus berbeza musim ini.

Bagaimanapun Gunners gagal menjaringkan gol dalam perlawanan itu meskipun Sporting dikurangkan kepada 10 pemain selepas Jeremy Mathieu dibuang padang pada minit-minit akhir perlawanan.

Meskipun berakhir dengan seri, Arsenal berjaya menempah tempat di kelompok 32 pasukan terakhir apabila Vorskla Poltava tewas 1-0 di laman sendiri kepada Qarabag dalam perlawanan lain Kumpulan E.

Sementara itu, Ranger yang dikendalikan oleh Steven Gerrard menyaksikan rekod tanpa kalah selama 11 perlawanan di Liga Eropah berakhir apabila mereka tewas 4-3 di Spartak Moscow.

Ranger kini di tempat ketiga di belakang Spartak yang menduduki tempat kedua, meskipun memiliki mata yang sama.

Sementara Villareal masih mengungguli Kumpulan G, meskipun berkeputusan seri 0-0 dengan Rapid Vienna di Austria.

“Bagi saya, bola sepak adalah tentang tahap prestasi dan, jika anda tidak bertahan dengan betul dan anda tidak melakukan asas-asas yang cukup, pemain peringkat tinggi dan pasukan peringkat tinggi biasanya menghukum anda dan itulah yang terjadi pada malam ini,” kata Gerrard. – AFP