LONDON, 16 DIS – Arsenal menunjukkan mereka boleh maju tanpa pemain bintang, Pierre-Emerick Aubameyang ketika pasukan Gunners mara ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan 2-0 menentang West Ham, manakala krisis COVID-19 di liga utama itu semakin meruncing kelmarin.
Gabriel Martinelli dan Emile Smith Rowe menjaringkan gol pada separuh masa kedua perlawanan derby London yang bersemangat di Stadium Emirates yang menyaksikan pemain West Ham, Vladimir Coufal dibuang padang.
Arsenal berada satu mata di atas pasukan di tangga kelima West Ham selepas kemenangan kedua berturut-turut meredakan drama yang menyelubungi keputusan Mikel Arteta untuk melucutkan pemain penyerang Gabon Aubameyang daripada kapten kelab.
Pasukan Arteta berada di tempat empat teratas pada peringkat musim ini buat kali pertama dalam dua setengah tahun.
Ia adalah perubahan nasib yang luar biasa selepas Arsenal tewas tiga perlawanan pembukaan liga buat kali pertama dalam 67 tahun.
“Ia adalah keputusan hebat. Prestasi, sikap dan komitmen yang ditunjukkan pemain adalah betul-betul tentang kami,” kata Arteta.
“Kami mempunyai kumpulan kepimpinan dan saya mengharapkan setiap pemain berpegang pada nilai kami.”
Gesaan supaya Arteta dipecat tersebar meluas selepas dibelasah Manchester City 5-0 yang memalukan pada Ogos, tetapi pengurus Sepanyol itu mampu bertahan dengan bimbingan mengagumkan, malah drama Aubameyang tidak dapat menjejaskannya.
Aubameyang tidak menyertai pasukan selepas disingkirkan daripada jawatan kapten kerana pelanggaran disiplin pada Selasa lalu.
Dia pulang lewat dan terlepas latihan minggu lalu selepas pergi ke Perancis untuk berjumpa ibunya yang sakit. – AFP