Arsenal, Rangers langkah kanan pembukaan Liga Europa

PARIS, 23 OKT – Arsenal kembali bangkit setelah ketinggalan untuk meraih kemenangan 2-1 menentang Rapid Vienna dan Rangers mengalahkan Standard Liege 2-0 pada perlawanan pembukaan peringkat kumpulan Liga Europa semalam.

Arsenal, finalis 2019, berjuang untuk meraih kemenangan di Austria.

Selepas separuh masa pertama tanpa jaringan, mereka ketinggalan 1-0 ketika penjaga gol Bernd Leno melakukan kesilapan. Taxiarchis Fountas memanfaatkan kecuaian yang dilakukan oleh Leno, menggembirakan 3,000 penyokong tuan rumah yang dibenarkan menonton di bawah protokol keselamatan virus, tetapi The Gunners kemudian mengubah corak permainan dalam masa empat minit.

David Luiz berjaya menyamakan kedudukan dengan tandukan tajam dari tendangan bebas Nicolas Pepe, sementara Pierre-Emerick Aubameyang kemudian menemukan jaringan kemenangan sekali gus merangkul tiga mata dalam Kumpulan B.

Ia adalah malam yang sangat baik bagi pasukan Mikel Arteta dengan permainan menarik dari Thomas Partey sebagai penampilan pertamanya sejak tarikh akhir perpindahannya dari Atletico Madrid.

Di Belgium, pasukan Rangers yang dikendalikan oleh Steven Gerrard menewaskan Standard Liege selepas kemenangan derbi di Old Firm mereka ke atas Celtic yang meletakkan mereka empat mata di puncak Liga Perdana Scotland hujung minggu lalu.
Bermain di bawah hujan yang turun, James Tavernier menjaringkan gol dari jarak jauh untuk meletakkan mereka di depan pada minit ke-19.

Kemudian tiga minit sebelum masa berakhir, Kemar Roofe menghasilkan gol yang mengagumkan dari tengah padang melepasi atas kepala penjaga gol Arnaud Bodart yang kebingungan. – AFP

Reaksi pemain pertahanan Arsenal, David Luiz meraikan jaringan golnya dengan rakan sepasukannya semasa perlawanan Kumpulan B Liga Europa UEFA menentang Rapid Wien di Vienna, Austria semalam. – AFP