LONDON, 14 JAN – Mikel Arteta hari ini berkata bahawa Arsenal ‘secara aktif’ memperbaiki skuad mereka, mendedahkan kelab itu ‘sangat bimbang’ mengenai kecederaan Gabriel Jesus.
Penyerang Brazil, Jesus, diusung keluar pada separuh masa pertama perlawanan pusingan ketiga Piala FA menentang Manchester United Ahad lalu, yang berakhir dengan kekalahan buat The Gunners menerusi sepakan penalti.
Kecederaan itu, digabungkan dengan ketiadaan berpanjangan penyerang England, Bukayo Saka, telah menambah kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kekurangan ancaman di bahagian serangan untuk Arsenal.
Pengurus Arteta berkata, kecederaan Jesus ‘tidak menunjukkan ia akan pulih dengan segera’ akan tetapi kelab itu mungkin akan mempunyai gambaran yang lebih lengkap selepas menerima nasihat daripada pakar hari ini.
“Saya tidak mahu mengesahkan apa-apa lagi sehingga kami mendapat laporan akhir petang ini dan saya fikir tugas doktor untuk melakukan perkara itu, tetapi kami sangat risau selepas perlawanan dan kami sangat bimbang hari ini,” katanya.
Arsenal berada di tangga kedua dalam carta Liga Perdana menjelang perlawanan hari ini, enam mata di belakang pendahulu Liverpool, bagaimanapun, mereka gagal memenangi tiga perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.
The Gunners berdepan cabaran sukar untuk layak ke final Piala Liga selepas kekalahan 2-0 di tempat sendiri kepada Newcastle dan tersingkir daripada Piala FA. – AFP
