LONDON, 30 JULAI – Arsenal telah menandatangani pemain pertahanan Itali, Riccardo Calafiori, dari Bologna kelmarin dengan perjanjian kontrak jangka panjang.
Tiada bayaran didedahkan, akan tetapi laporan media Britain berkata Calafiori, 22, tiba di Stadium Emirates dengan perjanjian lima tahun bernilai £42 juta (AS$54 juta) selepas mewakili Itali di Euro 2024.
“Kami mengalu-alukan Riccardo dan keluarganya ke Arsenal,” kata Pengurus Gunners, Mikel Arteta. “Dia pemain yang hebat dan mampu memberi kami kekuatan untuk mengukuhkan pertahanan kami.
“Riccardo merupakan personaliti dan perwatakan yang besar, dengan kemahiran khusus yang dimilikinya akan menjadikan pasukan lebih kuat dan kami berusaha untuk memenangi trofi utama.
“Beliau sudah menunjukkan perkembangan hebat dalam beberapa musim kebelakangan ini dengan persembahannya untuk kedua-dua pasukan, Bologna dan Itali, di mana perkembangannya pada tahun lalu sangat mengagumkan.
“Kami tidak sabar untuk bekerja dengan Riccardo, menyatukannya ke dalam skuad dan menyokongnya pada tahun-tahun akan datang,” ujarnya lagi.
Calafiori menjadi pemain utama kedua Arsenal pada jendela perpindahan musim panas selepas perpindahan pinjaman David Raya dari saingan London, Brentford, telah berpindah secara kekal.
The Gunners akan berusaha untuk menjadi lebih baik pada musim 2024/25 selepas menamatkan saingan di tempat kedua di belakang juara Liga Perdana, Manchester City, dengan hanya berbeza dua mata pada musim lalu. – AFP