Saturday, December 7, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arsenal tumpas di tangan Inter

    LONDON, 7 NOV – Mikel Arteta menilai kekalahan kontroversi Arsenal di Liga Juara-Juara kepada Inter Milan dan menegaskan bahawa pasukannya yang bergelut akan bangkit dari kekalahan ini untuk menyelamatkan musim mereka yang sukar.

    The Gunners tewas 1-0 di San Siro kelmarin, menambahkan lagi kegelisahan yang semakin meningkat dalam kalangan pemain pasukan yang dijangka akan memberikan saingan kuat untuk kejuaraan Eropah dan domestik.

    Arsenal mendominasi permainan untuk tempoh yang panjang menentang Inter, tetapi berasa kecewa dengan keputusan penalti kontroversi pada masa kecederaan separuh masa pertama apabila Mikel Merino didakwa melakukan handball.

    Hakan Calhanoglu menyempurnakan sepakan penalti dan Arsenal tidak mampu menjaringkan gol penyamaan apabila mereka mengalami kekalahan kedua berturut-turut dengan jaringan 1-0 selepas tewas kepada Newcastle dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris baru-baru ini.

    The Gunners hanya memenangi dua daripada enam perlawanan terakhir mereka dalam semua kejohanan, dengan kemenangan tidak begitu mengagumkan menentang Shakhtar Donetsk di Eropah dan pasukan divisyen dua Preston dalam Piala Liga.

    Skuad Arteta kini berada di tangga kelima dalam Liga Perdana Inggeris, ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu Liverpool menjelang perlawanan derby London yang penting di Chelsea hujung minggu ini.

    Arsenal telah terjejas selama beberapa minggu akibat ketiadaan kapten mereka, Martin Odegaard – yang akhirnya kembali daripada kecederaan sebagai pemain gantian lewat dalam perlawanan menentang Inter – Arsenal kelihatan seperti bayangan kepada pasukan yang penuh bertenaga yang membawa perebutan gelaran musim lalu hingga ke hari terakhir musim.

    Kreativiti dan pertahanan Odegaard amat terasa, manakala Arteta juga terpaksa berdepan dengan kecederaan dialami oleh Bukayo Saka dan Jurrien Timber, serta beberapa kad merah yang menyebabkan ketiadaan pemain utama seperti Declan Rice, William Saliba dan Leandro Trossard. – AFP

    Aksi Bukayo Saka (tengah) semasa perlawanan bola sepak Liga Juara-Juara UEFA di stadium San Siro di Milan pada 6 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda