Arsenal, United mara ke pusingan seterusnya

PARIS, 26 FEB – Pierre-Emerick Aubameyang menjaringkan dua gol termasuk kemenangan lewat perlawanan ketika Arsenal melayakkan diri untuk ke kelompok 16 terakhir Liga Europa kelmarin dengan kemenangan 3-2 ke atas Benfica di Greece, sementara Manchester United dan Rangers turut layak ke pusingan seterusnya.

Penyerang Gabon itu meletakkan Arsenal di hadapan dalam perlawanan yang berlangsung di stadium Karaiskakis, Piraeus di laman sendiri dalam pertemuan yang dipindahkan akibat sekatan perjalanan COVID-19 antara Portugal dan United Kingdom. Diogo Goncalves menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma menarik dan Rafa Silva memberikan kelebihan 2-1 selepas dia mengambil kesempatan ke atas kesilapan Dani Ceballos setelah sejam perlawanan.

Kieran Tierney kembali menyamakan kedudukan dan Aubameyang memberikan gol penentuan selepas menerima hantaran lintang dari Bukayo Saka pada minit ke-87, sekali gus memberikan kemenangan agregat 4-3.

“Semua orang gembira malam ini. Ini memberikan kami tenaga setiap hari, menjadikan kesilapan sebelum ini dan menukarnya kepada kekuatan,” Aubameyang memberitahu BT Sport.

“Pasukan ini menunjukkan semangat juang yang tinggi dan kami layak untuk menang. Perlawanan yang sangat mencabar. Apa yang kami pamerkan malam ini akan menjadi contoh bagi masa hadapan.’ – AFP

Aksi ketua pasukan Arsenal, Aubameyang melakukan tandukan semasa pertemuan menentang Benfica di Greece, kelmarin. – AP