ART keperluan untuk Aidilfitri

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini, garis-garis panduan telah pun dikemaskinikan oleh Jawatankuasa Pandu COVID-19, termasuk dalam bentuk kapasiti dan keperluan menggunakan ujian pantas antigen (ART).

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong pada pengumuman pelanjutan fasa endemik semasa sidang media harian COVID menekankan bahawa pengendalian acara persendirian di rumah adalah dibenarkan untuk keluarga terdekat sahaja mengikut kapasiti perkumpulan ramai yang dibenarkan pada masa ini iaitu maksimum 30 orang tetamu di rumah persendirian (tidak termasuk tuan rumah) atau maksimum 300 orang bagi acara yang diadakan di dewan dengan mematuhi garis panduan kesihatan.

Selain itu, orang ramai juga perlu membuat ujian ART sebelum meninggalkan rumah untuk berkunjung ke rumah ahli keluarga terdekat.

“Sesiapa yang mempunyai keputusan positif hendaklah melaporkannya ke aplikasi BruHealth dan mengasingkan diri di rumah; memakai pelitup muka kecuali semasa makan dan minum; kerap mencuci tangan atau menggunakan pensanitasi tangan dan kunjung-mengunjungi secara beramai-ramai atau berkumpulan serta bersalam-salaman adalah tidak digalakkan,” jelas Yang Berhormat Pehin.

Beliau memperingatkan orang ramai supaya sama-sama peka dan mengambil langkah berjaga-jaga dalam melindungi antara satu dengan yang lain, terutamanya bagi individu yang berisiko tinggi seperti warga emas.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa lebih berhati-hati dan berada di rumah jika berasa kurang sihat.

Ketika menyentuh mengenai domestic runners yang berdaftar di bawah kawalan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Yang Berhormat Pehin menekankan bahawa mereka perlu menjalani ujian ART dua kali seminggu dan memuatnaik keputusan ART tersebut ke dalam aplikasi BruHealth.

Domestic runners tidak lagi diperlukan untuk menjalani ujian RT-PCR dua minggu sekali, iaitu serupa dengan keperluan bagi transporter yang telah diumumkan melalui Kenyataan Media Jawatankuasa Pandu COVID-19 sebelum ini.

“Pelanjutan Fasa Awal Endemik dan pengemaskinian garis-garis panduan ini adalah mengambil kira bagi keadaan jangkitan harian COVID-19 untuk menjadi lebih stabil; meningkatkan kadar vaksinasi bagi dos ketiga (dewasa dan remaja) termasuk kadar vaksinasi kanak-kanak; memastikan keadaan adalah stabil setelah persekolahan dibuka dan para pekerja kembali bertugas sepenuhnya di pejabat masing-masing, serta pengemaskinian garis panduan rentas sempadan,” jelas Yang Berhormat Pehin lagi.

Oleh itu, menurut beliau, Jawatankuasa Pandu COVID-19 memantau dan meneliti situasi semasa COVID-19 bagi kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini sebelum membuat peralihan kepada fasa seterusnya nanti.

Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri sekali lagi mengingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard dan protokol kesihatan seperti menjaga penjarakan fizikal, memastikan jumlah kapasiti yang dihadkan, memakai pelitup muka, menjaga kebersihan, menggunakan aplikasi BruHealth secara mandatori dan sebagainya.