Arteta harapkan kepulangan Wenger

LONDON, 26 NOV – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengadakan perbincangan dengan Arsene Wenger mengenai kemungkinan bekas jurulatih itu untuk kembali bersama kelab dengan pengendali dari Sepanyol itu berharap dapat membawa bekas jurulatihnya ‘lebih dekat’ dengan pasukan lamanya.

Wenger tidak kembali ke Stadium Emirates sejak menamatkan khidmatnya selama 22 tahun sebagai pengurus pada 2018 dan sebelum ini pernah menyatakan bahawa beliau tidak berminat untuk kembali ke utara London.

Arteta berhubung dengan Wenger beberapa minggu kebelakangan ini dan mengatakan bahawa dia percaya pengendali berusia 72 tahun itu mampu membantunya menstruktur semula kelab.

Wenger yang berkhidmat sebagai ketua pembangunan bola sepak global FIFA bercakap dengan Arteta ketika tayangan perdana filemnya ‘Arsene Wenger: Invincible’ baru-baru ini.

“Sudah ada perbincangan,” kata Arteta ketika ditanya mengenai tawaran rasmi yang dibuat kepada Wenger.

“Saya berjumpa dan bercakap dengannya ketika kami pergi menonton filem itu. Sangat menyenangkan dapat bercakap dengannya dan berharap perkara itu akan menjadi kenyataan.

Ditanya mengenai peranan Wenger bersama kelab itu Arteta berkata, “Saya tidak boleh memberitahu awda sekarang tetapi apa yang boleh saya katakan saya ingin dia lebih dekat secara peribadi dengan saya. – AFP

Gambar fail menunjukkan Arsene Wenger menyaksikan perlawanan di antara bekas Olympique de Marseille dan Team Unicef di stadium Velodrome di Marseille, selatan Perancis. Mikel Arteta mengadakan perbincangan dengan Arsene Wenger untuk bekas jurulatih itu kembali bersama kelab. – AFP