LONDON, 22 DIS – Pengurus Arsenal yang berada dalam tekanan, Mikel Arteta berkata satu-satunya cara bagi pasukan The Gunners yang sedang bergelut untuk kembali bangkit musim ini adalah dengan pemain menunjukkan diri mereka sebagai pejuang dan bukan sebagai mangsa.
Pengurus Sepanyol itu menjadi pengurus pilihan seterusnya yang bakal dipecat di Liga Perdana Inggeris (EPL) tatkala kejayaan Piala FA mereka musim lalu terus dilupakan dengan cepat.
Arsenal berada di kedudukan ke-15 carta liga dan gagal mencatat sebarang kemenangan di EPL sejak 1 November. Mereka hanya mengutip dua mata dari tujuh perlawanan terakhir dan hanya empat mata dari zon penyingkiran.
Satu-satunya penyelamat bagi Arteta – yang mengalas tugas pengurus selama lebih dari setahun – bergantung pada piala kejohanan.
Mereka mara ke pusingan kalah mati Liga Europa dan akan bertemu Manchester City seterusnya – di mana dia meninggalkan jawatan sebagai pembantu kepada Pep Guardiola – dalam pusingan suku akhir Piala Liga.

“Anda mempunyai dua jenis pemain iaitu pejuang dan mangsa,” kata Arteta. “Anda perlu berjuang dan tidak mahu menjadi mangsa.
“Mangsa akan selalu membuat alasan, sikap negatif dan mereka akan mula menyalahkan segala-galanya yang berlaku di sekeliling mereka atau jika perkara berlaku tidak mengikut perancangan mereka.
“Anda perlukan pemain yang sentiasa berjuang, memberi sumbangan dan mereka bersedia untuk memberikan segala-galanya kepada kelab dalam saat seperti ini.”
Arteta berkata dia tidak menghiraukan apa yang ditulis mengenainya dan kelab, menegaskan bahawa perkara yang penting adalah perasaan di dalam kelab – dan dia memberitahu bahawa mereka berada dalam keadaan yang bersatu padu.
“Jelas sekali status kelab layak untuk berada dalam kedudukan terbaik dan apabila ia tidak berlaku, semua orang akan mempersoalkan apa yang sedang berlaku,” katanya. – AFP






























