Arteta risau COVID-19 jejaskan musim EPL

LONDON, 28 OGOS – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta bimbang dengan peningkatan jumlah pemain Liga Perdana Inggeris yang telah dijangkiti koronavirus dan berpendapat ia adalah petanda bahawa musim akan datang mungkin terjejas akibat pandemik.

Beberapa orang pemain dari liga utama telah disahkan positif dijangkiti COVID-19 sejak kembali dari percutian menjelang perlawanan pembukaan kempen Liga Perdana Inggeris pada 12 September.

Bintang Manchester United, Paul Pogba dan pemain tengah Tottenham, Tanguy Ndombele telah dikeluarkan dari skuad kebangsaan Perancis selepas diuji positif pada minggu ini.

Arteta antara individu pertama di Liga Perdana Inggeris yang dijangkiti virus pada Mac lalu, beberapa hari sebelum musim 2019-2020 dihentikan sehingga Jun.

Pengurus Sepanyol itu telah sembuh sepenuhnya dan memacu Arsenal menjulang Piala FA menentang Chelsea.

Tetapi perbincangan menjelang piala Perisai Komuniti esok menentang Liverpool, Arteta memberi amaran bahawa musim ini mungkin berisiko jika angka kes terus melonjak.

Dia percaya setiap pasukan harus mempunyai rancangan jika kehilangan pemain disebabkan oleh virus dalam beberapa bulan akan datang.

Ditanya jika keputusan positif meningkat merupakan petanda bahawa musim ini berada dalam risiko, pengurus berusia 38 tahun itu berkata, “Ya, dan malangnya saya rasa kita akan mempunyai lebih banyak kes di masa akan datang.

“Anda harus membuat perancangan untuk melakukan sesuatu jika pemain diuji positif.

“Kita terpaksa membiasakan diri dengannya, cuba untuk mengatasinya dan cuba mengawal keadaan sebaik mungkin.”

“Kita tidak dapat melakukan apa-apa dan kita tahu bahawa timbulnya beberapa ketidakpastian yang tidak dapat kami kawal pada masa sekarang.”

Difahamkan Liga Perdana Inggeris tidak menjangkakan bahawa mereka perlu menunda permulaan musim 2020-2021.

Jika kelab berasa terdapat beberapa masalah dengan jadual perlawanan disebabkan oleh penularan virus, menurut protokol mereka harus menghubungi badan liga berkenaan dengan kemungkinan penangguhan perlawanan, dan isu itu akan diselesaikan berdasarkan kes yang berlaku.

Angka kes positif apabila musim disambung semula pada Jun lalu adalah minimum selepas pemain mengadakan latihan dan operasi di dalam gelembung. – AFP