Arteta yakin Aubameyang kekal

LONDON, 30 OGOS – Mikel Arteta menegaskan ketua pasukan Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang hampir pasti menandatangani perjanjian baharu selepas The Gunners menewaskan Liverpool 5-4 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 sama dalam perlawanan Community Shield kelmarin.

Aubameyang meletakkan pasukan Arteta di hadapan pada separuh masa pertama di Wembley dengan sepakan yang memukau.

Pemain Jepun, Takumi Minamino menyamakan kedudukan dengan gol pertamanya buat Liverpool pada akhir babak separuh masa kedua dalam perlawanan persahabatan pra musim tahunan di antara juara Liga Perdana Inggeris dan juara Piala FA.

Dalam penentuan penalti, pemain muda Liverpool, Rhian Brewster satu-satunya pemain yang gagal untuk menyempurnakan sepakan, percubaannya terkena tiang gol dalam sepakan ketiga Liverpool sebelum Aubameyang dengan tenang menyudahkan sepakan dan sekali gus memenangi perlawanan.

Ia seakan mengingatkan Arteta bahawa ia adalah satu lagi perlawanan yang berpengaruh buat ketua pasukannya Aubameyang, yang masih belum memberikan komitmen jangka panjang bersama kelab ketika kontraknya memasuki tahun terakhir. Penyerang Gabon, Aubameyang telah membuatkan pasukan Arsenal gelisah dengan perbincangan yang berpanjangan dan dia kelihatan suram apabila ditanya semasa temu bual selepas perlawanan mengenai sama ada dia bersedia untuk menandatangani perjanjian baharu.

Pierre-Emerick Aubameyang meraikan trofi bersama rakan sepasukan, David Luiz. Mikel Arteta yakin Aubameyang akan menandatangani perjanjian baharu bersama kelab. – AP

“Kita akan saksikan apa yang akan berlaku, hari ini kami hanya akan memenangi trofi dan itu sahaja,” katanya.

Arteta kekal yakin pemain berusia 31 tahun itu akan kekal dan menegaskan situasi penyerang tersebut akan diselesaikan mengikut kemahuannya sebelum musim Liga Perdana Inggeris bermula pada 12 September.

“Kami begitu hampir,” kata Arteta mengenai soal kontrak. “Dia sangat hebat dalam final FA dan hari ini.

“Perlawanan besar, momen terbesar, pemain besar. Dia memberikan respons dengan sangat baik untuk menangani tekanan sebegitu.”

Bagi Liverpool, ia merupakan tahun kedua berturut-turut mereka tewas dalam perlawanan Community Shield menerusi sepakan penalti selepas tewas di tangan Manchester City musim lalu. – AFP