Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Artifak 3,000 tahun dipamerkan semula di muzium Iran

    TEHRAN – Bata sepuh dihiasi objek mitos berusia hampir 3,000 tahun telah dipamerkan di Muzium Nasional Iran selepas usaha mencari selama empat dekad terjejas oleh peperangan dan isu perundangan antarabangsa.

    Singa dan lembu bersayap dengan kepala manusia, kuda dan lembu jantan dengan tanduk kambing, lelaki dan wanita berlutut serta patung mitos lain menghiasi hasil seni berkenaan, dicipta oleh penduduk Mannaean yang tinggal di barat laut Iran pada alaf pertama SM.

    Sejumlah 51 bata bentuk segi empat dilukis pada lapisan sepuh dengan berlatarbelakangkan warna hitam, perang, biru muda, kuning atau putih.

    Penemuan serta pengembalian mereka ‘membentuk beberapa siri pengembaraan yang menakjubkan,’ beritahu Youssef Hassanzadeh, seorang pakar arkeologi dengan muzium berkenaan, kepada AFP.

    Ia merupakan contoh terbaharu negara Timur Tengah dan Afrika dalam penemuan barang antik dicuri yang telah berakhir di negara Barat.

    Bata berglis Boukan dipulangkan dari Switzerland dipamerkan di Muzium Nasional Iran di Tehran pada 16 April 2022. – AFP
    Pelawat menyaksikan pameran bertajuk Koleksi Bata Glis Boukan dari Switzerland di Muzium Nasional Iran di Tehran. – AFP

    Menurut Hassanzadeh, kisah bermula selepas revolusi Islam 1979 apabila seorang petani, Mirza Ali, menemui bata seramik bercat ketika bercucuk tanam di ladangnya. Bata berkenaan telah digunakan untuk menghiasi sebuah kuil berdekatan kampungnya di wilayah Azerbaijan Barat.

    “Orang melakukan kegiatan menjarah dan menjual bata bersepuh, mengambil kesempatan ke atas ketiadaan kerajaan pemerintah,” kata Hassanzadeh, yang menganjur pameran di muzium tersebut, di mana pelawat melihat pada bata menerusi kabinet kaca.

    ‘Koleksi unik’

    Beberapa tahun kemudian pada 1985, semasa peperangan dengan Iraq, pihak berkuasa Iran menghantar sekumpulan ahli arkeologi, dikawal dan dilindungi tentera, ke kampung tersebut. Mereka mula melakukan kerja-kerja menggali dan merampas beberapa bata namun terlalu lambat untuk ahli arkeologi yang lain.

    Penyeludup telah pun menghantar beberapa bata ke luar negara, di mana sesetengahnya menjadi koleksi persendirian dan muzium, menurut pakar arkeologi.

    Kisah itu berubah apabila Muzium British mendapat tahu bahawa sebuah keluarga Iran telah menawarkan untuk menjual satu set bata bersepuh di Chiasso, di sempadan Itali-Swiss. Pada tahun 1991, muzium itu menghantar kurator John Curtis untuk membeli koleksi tersebut.

    Namun Curtis menyedari bata berkenaan datang dari tapak Azerbaijan Barat ‘dan menasihatkan Muzium British serta muzium Eropah lain supaya jangan membelinya, disebabkan ia merupakan koleksi unik yang tidak boleh dibahagikan dan mesti dikembalikan kepada negara asalnya,” kata Hassanzadeh.

    Namun bagaimanapun, tuan punya koleksi Iran mempunyai pandangan berlainan. Beliau belum bersedia untuk mengembalikan kesemua artifak dari Switzerland.

    “Pada tahun 2008, polis Swiss merampas objek berkenaan. Kes dikemukakan di mahkamah. Ahli arkeologi Perancis Remy Bouchariat, yang memimpin usaha menggali di Iran, mengesahkan ‘identiti’ koleksi, kata muzium berpangkalan di Tehran dalam satu kenyataan.

    Prosiding mahkamah berlarutan sehingga lebih daripada satu dekad, dengan tindakan guaman difailkan oleh Muzium Nasional pada 2015, dan juga tekanan daripada diplomat Iran.

    “Akhirnya pada 20 Disember 2020, koleksi itu dipulangkan kepada kami,” kata Jebrael Nokandeh, kurator Muzium Nasional yang mengadakan pameran bata tersebut sehingga Selasa.

    Satu lagi pergelutan perundangan berpanjangan yang berasingan berakhir pada Oktober 2019 apabila Muzium Nasional membuka pameran kira-kira 300 tablet tanah liat tulisan pepaku yang dikembalikan dari Amerika Syarikat.

    Artifak lain juga telah kembali, tetapi dengan komplikasi yang jauh tidak teruk.

    Nokandeh, yang juga seorang ahli arkeologi, berkata keturunan seorang warga Perancis yang menetap di Iran semasa Perang Dunia Kedua berjumpa dengan penasihat kebudayaan Iran di Paris pada tahun lalu untuk mengatakan ‘bahawa dia mempunyai koleksi barang antik Iran.’

    Kesemua 29 artifak berkenaan, dari Era Zaman Gangsa kepada tempoh Islam, kini turut dipamerkan di muzium, sementara usaha untuk mendapatkan semula artifak lain yang dicuri atau hilang daripada sejarah kaya negara itu masih diteruskan.’

    “Kami sedang mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat serta Australia untuk memulangkan objek berkenaan,” ujar Nokandeh. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...