KUALA KRAI, 8 NOV – Beberapa cangkerang siput sedut dan pecahan tembikar dipercayai berusia antara 1,000 hingga 5,000 tahun ditemui di Gua Keris, Dabong di sini pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin berkata bahan artifak itu ditemui oleh sepasukan pegawai Jawatankuasa Pelaksana Geopark ketika membuat penilaian Stong Geopark membabitkan tiga gua di Dabong iaitu Gua Keris, Gua Pagar dan Gua Ikan.
“Bila di gua, siput sedut memang menjadi bahan makanan dan juga barang pengebumian masyarakat prasejarah manakala pecahan tembikar yang ditemui pula adalah ciri-ciri pada zaman Neolitik yang dipercayai berusia antara 1,000 hingga 5,000 tahun.
“Kita jumpa semua bahan ini di permukaan tanah. Oleh itu, penyelidikan arkeologi yang lebih saintifik perlu dilakukan dan kita boleh jumpa artifak lain lagi pada zaman prasejarah yang masih belum diganggu,” katanya pada sidang media di sini hari ini yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Daerah Dabong Mohd Hariff Ghazali.
Mengulas lanjut, Mokhtar berkata pihaknya akan menyerahkan beberapa sampel kepada Majlis Daerah Dabong untuk tindakan selanjutnya. – Bernama